Wednesday, July 29, 2015
Apa Cerita Sidang Akhbar Muhyiddin ?
Banyak spekulasi dan khabar angin yang tersebar sebelum Tan Sri 
Muhyiddin Yassin mengadakan sidang akhbar pertama selepas digugurkan 
sebagai Timbalan Perdana Menteri di rumahnya di Damansara Rabu.
Ada yang bawa mulut konon kemungkinan beliau akan buat sesuatu pendedahan ‘meletop’,palu gendang perang dan segala macam lagi.
Kalau nak kira jumlah wartawan dan jurugambar yang hadir untuk dengar 
apa ceritanya memang cukup ramai hingga Muhyiddin berjenaka kata ini 
pertama kali beliau dengan orang media sebanyak ini.
Kepanasan isu pengugurannya menang terasa.Kalangan wartawan yang 
‘berkampong’ depan rumahnya sejak petang Selasa berebut-rebut ajukan 
soalan kepadanya dalam sidang akhbar kira-kira 30 minit itu.
Hadir sama di sidang akhbar itu ialah isterinya, Puan Sri Noraini Abdul Rahman.
Apa yang nyata sidang akhbar itu jauh berbeza dengan cakap-cakap yang 
berlegar mengenai kemungkinan ia bakal memanaskan lagi keadaan.Intipati 
dari sidang akhbar berkenaan ialah bagi Muhyiddin selepas ini ianya 
‘business as usual’ dengan perananya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan 
juga Timbalan Pengerusi BN - yakni jawatan yang masih disandangnya.
"Sebagai Timbalan Presiden masalah yang penting bukan saya, masalah yang
 penting ialah berkaitan masa depan parti dan rakyat," katanya.
"Memang selama ini pun sewaktu menjadi timbalan perdana menteri dan saya
 adalah juga timbalan presiden parti, saya telah melaksanakan apa yang 
saya fikir terbaik untuk parti baik dari segi nak mengukuhkan perpaduan 
dalam parti, perpaduan orang Melayu dan rakyat Malaysia...melaksanakan 
segala dasar yang patut dilaksanakan parti dan kerajaan supaya rakyat 
akan terus menyokong kita," katanya.
Muhyiddin bagaimanapun berkata beliau memerlukan sedikit masa dalam 
merancang agenda yang perlu dilaksanakan."Perkara ini (digugurkan 
daripada kabinet) baru dihadapi, bagilah saya sedikit masa dan ruang 
untuk saya 'compose' balik kedudukan saya supaya saya bersikap rasional 
dan bertanggungjawab. Ini penting supaya apa yang akan saya lakukan pada
 masa akan datang ialah berdasarkan kedudukan saya sebagai Timbalan 
Presiden UMNO dan setakat ini Timbalan Pengerusi BN," katanya.
Katanya beliau akan terus berfungsi sebagai Pengerusi Jawatankuasa 
Pengurusan UMNO,menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO serta 
mesyuarat-mesyuarat lain.
Beliau memberi jaminan isu yang melanda dirinya tidak akan mempengaruhi 
peranannya untuk terus berkhidmat untuk parti dan orang Melayu.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga berulang kali menegaskan 
pentingnya perpaduan dalam UMNO dan tidak sekali-kali akan berbuat 
sesuatu untuk merosakan parti.
Jawapannya yang bersahaja begitu membuatkan ada wartawan cuba jolok 
soalan provokasi termasuk apakah kemungkinan berdepan hukuman penjara 
kerana ‘ lawan kerajaan’.
Jarang sekali berlaku begini.Ia telah membuatkan kalangan wartawan lain 
‘boo’ terhadap wartawan yang mengemukakan soalan berkenaan hingga 
keadaan riuh rendah seketika.
Muhyiddin kata beliau akur dengan pengguguran dari jawatan Timbalan 
Perdana Menteri.“Tanggungjawab saya sebagai Timbalan Presiden adalah 
untuk membantu Presiden dan ahli-ahli lain. Tanggungjawab saya untuk 
uruskan parti dan memastikan perjalanan parti lancar.“Saya tidak harus 
memikirkan apa yang berlaku pada diri saya sebab itu akan ganggu 
tanggungjawab saya sebagai Timbalan Presiden. Masalah yang penting bukan
 saya, tapi parti. Bagi saya yang penting adalah parti dan masa depan 
negara,” katanya.
Menurut Muhyiddin lagi beliau akan terus bekerja buat UMNO seiring 
dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi memastikan parti 
orang Melayu itu terus kukuh buat negara.
Malah jelasnya, pihak beliau akan kekal berdiri dan mengelakkan dari 
terlibat dengan sebarang pertentangan pendapat sebagai usaha memelihara 
UMNO.
“Saya tidak sepatutnya terlibat dengan benda yang ada perbalahan 
sehingga menimbulkan krisis. Sebab saya tahu, kalau bergaduh kita akan 
kalah. Oleh sebab itu, kita akan kerja sebaik mungkin dengan semua 
pihak.“Sebagai Timbalan Presiden parti, saya ada amanah dan 
tanggungjawab yang harus saya pikul dengan sebaik-baiknya, jika saya 
gagal laksanakan tugas itu bermakna saya pecah amanah yang diberikan.
Walaupun digugurkan dalam barisan Kabinet, sebagai seorang Islam saya 
terima dan tidak boleh menolak. Saya terima dengan hati terbuka dan 
tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku terhadap saya,” tambahnya.
Mengenai isu 1MDB,Muhyiddin kata beliau yakin isu ini dapat 
diselesaikan.”Banyak perkara besar di Malaysia ini dapat 
diselesaikan,”katanya.
Cuma beliau berharap pihak bertanggoingjawab dapat selesaikan perkara 
itu seberapa segera yang boleh.”Kalau ia mengambil masa terlalu lama 
nanti rakyat akan persoalkan kewibawaan pihak-pihak yang 
bertanggongjawab,”katanya.
Ditanya mengapa masih kata tidak faham isu 1MDB sedangkan fact sheet 
mengenainya sudah diberikan kepada semua angota kabinet,Muhyiddin kata 
fact sheet itu agak ringkas dan tidak komprehensif untuk perhatian 5 ke 
10 minit sahaja.
”Itu tidak memadai dengan isu sebesar itu,”katanya.
Mengenai kemungkinan beliau tidak akan dijemput merasmikan mesyuarat 
bahagian UMNO di seluruh negara, Muhyiddin berkata ia merupakan hak 
bahagian tersebut."
Saya sedar mungkin di peringkat awal, banyak orang masih terkejut, saya 
fikir bila keadaan sudah semakin stabil, mereka akan melihat sama ada 
saya perlu jalankan tugas sebagai Timbalan Presiden dengan berkesan," 
katanya.
Katanya beliau tidak mempunyai masalah untuk membantu bahagian UMNO yang
 memerlukan pertolongannya khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum 
akan datang.
Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana UMNO Johor telah menyatakan 
tidak akan menyekatnya menjalankan tugas parti di negeri itu.
Muhyiddin juga berkata beliau akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi
 UMNO seperti biasa serta tidak merasa bimbang dan terhalang."Ahli MT 
sudah berpengalaman dan tahu tanggungjawab, mereka bersikap adil dan 
terbuka dan memberikan ruang pendapat. Saya tidak fikir perkara luar 
biasa akan berlaku kerana mesyuarat MT biasa saya hadiri," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment