Wednesday, July 29, 2015
Muhyiddin : Kedudukan Saya Dalam Umno Tidak Tergugat
KUALA LUMPUR : Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin pengguguran jawatan dalam Kabinet tidak akan menggugat kedudukannya dalam Umno.
Malah menurut timbalan presiden Umno itu, beliau juga akan menghadiri 
mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadual diadakan pada Jumaat 
ini.
"Tidak, saya tak fikir kedudukan saya tergugat kerana saya bukan baharu 
dalam parti. Walaupun saya tak menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana
 Menteri...itu tugas dalam kerajaan.
"Tugas dalam parti tidak akan saya abaikan. Bila saya perlu hadir...saya
 akan hadir dalam mesyuarat MT (serta) pertemuan dengan presiden yang 
akan diadakan sebelum itu atau menguruskan mesyuarat seperti biasa.
"(Saya akan) merasmikan (mesyuarat) bahagian kalau dijemput...bermakna 
saya tak rasa terhalang dan tak bimbang untuk hadir (majlis Umno)," 
katanya pada sidang media di kediamannya di Bukit Damansara di sini, 
Rabu.
Rombakan kabinet seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri 
Najib Tun Razak pada Selasa menyaksikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
 dilantik sebagai timbalan perdana menteri, menggantikan Muhyiddin yang 
digugurkan.
Mengulas lanjut Muhyiddin yang ditemani isterinya, Puan Sri Noraini 
Abdul Rahman berkata beliau akan terus memainkan peranan dalam Umno 
mengikut Perlembagaan parti itu.
"Saya perlu menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai timbalan 
presiden dengan berkesan kerana itulah yang diamanahkan oleh parti, saya
 dipilih oleh perhimpunan agung.
"Kalau tak laksanakan tugas bermakna saya gagal. Saya adalah orang yang 
bertanggungjawab. Kalau parti kata inilah tugas yang harus saya pikul, 
saya akan laksanakan," katanya.
Mengulas mengenai tindakan Umno Bahagian Raub yang membatalkan jemputan 
untuk merasmikan mesyuarat tahunan mereka, Muhyiddin berkata: "Saya 
sedar isu ini baru sangat, ramai orang masih terkejut.
"Tetapi apapun bila keadaan sudah lebih stabil dan ramai yang berfikir 
secara agak waras, mereka akan melihat saya perlu menjalankan tugas dan 
tanggungjawab ini.
"Soal bahagian jemput atau tak jemput itu hak bahagian."
Tambah Muhyiddin beliau bersyukur kerana dimaklumkan bahawa Umno Johor 
tidak akan menghalangnya daripada menghadiri mesyuarat atau mengadakan 
pertemuan dengan akar umbi.
"Saya bersyukur kerana dimaklumkan oleh Menteri Besar (Datuk Seri Khaled
 Nordin) bahawa beliau nasihatkan orang Johor menghormati saya sebagai 
timbalan presiden Umno.
"Johor tidak menyekat untuk saya masuk ke mana-mana bahagian kalau saya 
dijemput atau jika saya meminta untuk bertemu bagi memberikan penerangan
 kerana saya fikir beban tugas sebagai timbalan presiden tidaklah kecil.
"Saya bertanggungjawab mengukuhkan parti. Atas dasar itu saya serahkan 
kepada pimpinan parti peringkat negeri atau bahagian untuk fikirkan. 
Kalau mereka memerlukan bantuan, kerjasama...sebagai timbalan presiden 
saya akan lakukan," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment