Thursday, July 30, 2015
#Mukhriz Redha Jika Hilang Jawatan Menteri Besar Kedah
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir tidak merasakan 
tindakannya menziarahi Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas dipecat sebagai 
sesuatu yang salah tetapi sedia menerima sebarang kemungkinan politik 
akibat daripada apa yang dilakukannya itu.
Katanya, beliau mengunjungi Muhyiddin atas kapasiti Menteri Besar Kedah 
untuk mengucapkan terima kepada bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga
 bekas Menteri Pelajaran itu atas bantuan yang diberikan kepada Kedah.
Jelas Mukhriz, kunjungan itu adalah perkara biasa kerana semasa 
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pun 
beliau menziarahi keluarga Allahyarham dan tidak ada apa-apa perkara 
yang berbangkit.
"Saya tak nampak pula apa yang saya lakukan itu satu kesalahan dan saya 
tak ... saya ingat elok jangan tanya saya soalan itu, tanya orang 
lainlah... adakah patut tindakan diambil terhadap saya kerana saya pergi
 melawat seorang bekas pemimpin untuk mengucapkan terima kasih kepada 
dia. Saya ingat itu tak salah," katanya ketika ditemui pada majlis 
Aidilfitri UMNO Bahagian Jerlun di Alor Setar.
"Walaupun begitu, ya, saya akan menghadapi apa kemungkinan sekali pun 
dan itu asam garam politik. Kuasa yang ada di tangan saya ini diturunkan
 oleh Allah, bila-bila masa pun Dia boleh ambil.
"Kita kena reda dengan keadaan itu," tambah beliau.
Mukhriz ditanya mengenai desas-desus tentang kedudukannya sebagai 
Menteri Besar yang dikatakan tergugat selepas Perdana Menteri Datuk Seri
 Najib Tun Razak merombak kabinetnya pada Selasa.
Berhubung rakaman video perbualan Muhyiddin dengan Mukhriz dan Tan Sri 
Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengenai dakwaan duit sebanyak RM2.6 bilion 
masuk ke akaun Perdana Menteri, Mukhriz tidak menafikan perbualan itu 
berlaku.
Mukhriz menjelaskan beliau tidak mungkin dapat menghalang Muhyiddin 
selaku tuan rumah daripada membincangkan apa-apa perkara di kediamannya 
sendiri.
Abdul Kadir yang hadir sama semasa perbualan itu turut mengesahkan 
perbualan tersebut berlaku tetapi enggan mengulas lanjut kerana 
menegaskan ia perbualan tertutup dan tidak sepatutnya dirakamkan.
Muhyiddin sehingga ini belum memberikan sebarang komen mengenai rakaman video itu.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman 
yakin Perdana Menteri akan menjawab dakwaan yang berbangkit dalam 
rakaman video itu dan meminta semua pihak supaya bersabar.
"Saya yakin Najib tidak akan tutup telinga. Beliau akan jelaskan, sabarlah," katanya. 
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment