Thursday, July 30, 2015
Muhyiddin Akan Berganding Bahu Dengan PAS Untuk Ubah Malaysia?
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menzahirkan rasa simpati kepada Tan Sri 
Muhyiddin Yassin yang telah dilucutkan daripada jawatan Timbalan Perdana
 Menteri dan mengharapkan beliau sabar dengan ujian.
Ketua DUPP, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, perlucutan itu dipercayai 
mempunyai kaitan dengan kelantangan Muhyiddin yang mula bersuara 
mengenai isu 1MDB.
"Walau bagaimanapun, keadaan itu diharap tidak melemahkan semangat 
Muhyiddin untuk meneruskan agenda perubahan negara yang kian dihimpit 
pelbagai skandal di dalam mahupun di luar negara," ujarnya dalam satu 
kenyataan.
Katanya, apa yang lebih utama adalah usaha ke arah Malaysia yang lebih baik ini mendapat dukungan bersama oleh semua pihak.
Beliau berkata, Muhyiddin seharusnya bertindak lebih lantang dalam 
menyampaikan pandangan-pandangan mengenai pelbagai kemelut yang melanda 
negara akhir-akhir ini.
Tambahnya, isu skandal terbesar 1MDB dan Perjanjian Perkongsian 
Trans-Pasifik (TPPA) adalah antara isu yang menjadi perhatian ramai 
pihak ketika ini dan ia bakal menentukan masa depan negara.
"DUPP juga mengalu-alukan Muhyiddin bersama-sama PAS untuk berganding 
bahu meneruskan agenda perubahan ini ke arah Malaysia yang lebih 
sejahtera," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Johor.
Katanya, PAS menyatakan kesediaan untuk menerima sesiapa sahaja yang 
bersedia untuk berjuang meneruskan agenda perubahan seterusnya 
memartabatkan Islam di bumi Malaysia. 
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment