1. Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan perenggan (b) Fasal (2)
Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri
Persekutuan dan Fasal (1) Perkara 43A mengenai pelantikan Timbalan
Menteri Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah
memperkenankan pelantikan berikut:
Menteri Persekutuan:
(i) YB Datuk Wilfred Madius Tangau;
(ii) YB Dato’ Hamzah bin Zainudin;
(iii) YB Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar;
(iv) YB Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid;
(v) YB Dato’ Sri Azalina binti Dato’ Othman Said;
(vi) YB Datuk Seri Ong Ka Chuan; dan
(vii) YB Senator Datuk Seri Panglima Dr. Mohd. Salleh bin Tun Said Keruak
(Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan YB Senator
Datuk Seri Panglima Dr. Mohd. Salleh bin Tun Said Keruak sebagai Ahli
Dewan Negara dan beliau akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara
dalam masa terdekat).
Timbalan Menteri Persekutuan:
i. YB Dato’ Wira Mohd Johari bin Baharum;
ii. YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin;
iii. YB Datuk Nur Jazlan bin Mohamed;
iv. YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki;
v. YB Senator Tuan Chong Sin Woon;
vi. YB Dato’ Seri Reezal Merican bin Naina Merican;
vii. YB Datuk Ahmad Jazlan bin Yaakob;
viii. YB Tuan Masir anak Kujat; dan
ix. YB Dato’ Johari bin Abdul Ghani.
2. Rombakan Kabinet hari ini dibuat bagi tujuan memperkukuhkan lagi
barisan Jemaah Menteri dalam kita menghadapi cabaran menguruskan negara
sebelum Pilihanraya Umum yang ke-14.
3. Keputusan saya menggantikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin dengan YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, menggugurkan
empat orang Menteri dan seorang Timbalan Menteri serta perubahan
portfolio,dibuat setelah mengambil kira pertimbangan politik dan
kepentingan pentabiran.
4. Ini bagi memastikan pentadbiran di bawah saya terus komited,
sentiasa fokus kepada usaha pembangunan negara sebagaimana yang telah
dijanjikan oleh Kerajaan Barisan Nasional kepada rakyat pada pilihan
raya umum yang ke-13.
5. Bagi tujuan ini, Jemaah Menteri perlu bertindak sebagai satu
pasukan yang jitu dalam apa jua keadaan, melangsungkan agenda
pembangunan Negara serta menguruskan isu-isu Negara yang berbangkit agar
dapat bertindak dengan berkesan.
6. Saya boleh menerima perbezaan pendapat dan kritikan sebagai
sebahagian dari proses dalam membuat keputusan. Namun, sebagai anggota
Kabinet, perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutnya dilakukan di
forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap Kerajaan
serta Negara. Ia juga bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama
Kabinet (collective responsibility).
7. Keputusan menggantikan Tan Sri Muhyiddin merupakan satu keputusan
yang amat sukar, tetapi terpaksa saya lakukan agar Jemaah Menteri dapat
bergerak sebagai satu pasukan yang jitu.
8. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi
penghargaan dan terima kasih di atas khidmat bakti yang telah dicurahkan
oleh Tan Sri Muhyiddin. Begitu juga oleh Menteri dan Timbalan Menteri
yang kini tidak lagi bersama saya di dalam pentadbiran Kerajaan.
9. Insha-Allah, saya yakin senarai Kabinet yang baru ini dapat
meneruskan hasrat Kerajaan untuk menjayakan segala perancangan yang
telah dijanjikan dan meningkatkan keyakinan serta sokongan rakyat kepada
Kerajaan Barisan Nasional.
10. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah juga
memperkenankan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah
Simpan Rahsia di hadapan Baginda diadakan pada Rabu, 29 Julai 2015, jam
10 pagi di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Perdana Menteri
Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak
28 Julai 2015
No comments:
Post a Comment