Wednesday, July 29, 2015
Muhyiddin Akan Teruskan Tugas Timbalan Presiden UMNO, Bantu Najib
29 Julai 2015, Kuala Lumpur : Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan
 meneruskan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO dan membantu Presiden 
Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memantapkan parti.
Beliau berkata walaupun tidak lagi menjadi timbalan perdana menteri, 
ia bukan penghalang atau kekangan kepadanya dalam menjalankan 
tanggungjawab kepada parti dan negara.
“Memang selama ini pun sewaktu menjadi timbalan perdana menteri dan 
saya adalah juga timbalan presiden parti, saya telah melaksanakan apa 
yang saya fikir terbaik untuk parti baik dari segi nak mengukuhkan 
perpaduan dalam parti, perpaduan orang Melayu dan rakyat Malaysia … 
Melaksanakan segala dasar yang patut dilaksanakan parti dan kerajaan 
supaya rakyat akan terus menyokong kita,” katanya dalam sidang akhbar 
pertamanya selepas digugurkan daripada kabinet.
Muhyiddin bagaimanapun berkata beliau memerlukan sedikit masa dalam merancang agenda yang perlu dilaksanakan.
“Perkara ini (digugurkan daripada kabinet) baru dihadapi, bagilah 
saya sedikit masa dan ruang untuk saya ‘compose’ balik kedudukan saya 
supaya saya bersikap rasional dan bertanggungjawab. Ini penting supaya 
apa yang akan saya lakukan pada masa akan datang ialah berdasarkan 
kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan setakat ini Timbalan 
Pengerusi BN,” katanya.
Ditanya sama ada beliau boleh bekerjasama dengan Najib, Muhyiddin 
berkata mengikut perlembagaan parti, Timbalan Presiden akan membantu 
Presiden UMNO dan anggota Majlis Tertinggi dalam menguruskan parti.
Katanya beliau akan memastikan urusan parti berjalan dengan baik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Saya ambil kira tanggungjawab itu sahaja … saya tidak harus 
memikirkan apa yang terjadi kepada saya, itu akan mengganggu tugas saya 
sebagai Timbalan Presiden.
“Sebagai Timbalan Presiden masalah yang penting bukan saya, masalah 
yang penting ialah berkaitan masa depan parti dan rakyat,” katanya.
Mengenai sama ada beliau akan bersama-sama bekas Perdana Menteri Tun 
Dr Mahathir Mohamad untuk mengkritik kerajaan, Muhyiddin berkata ia 
tidak begitu penting.
“Saya fikir rakyat pun mahu supaya kita buat perkara yang perlu untuk
 negara kerana Malaysia negara yang kita cintai … Malaysia memerlukan 
usaha-usaha untuk membangun sebagai negara maju.
“Apa pun pandangan tokoh lama kita tidak boleh ketepikan, beliau (Dr 
Mahathir) ada pandangan dan beliau masih cergas untuk berikan 
sumbangan,” katanya.
Mengenai kemungkinan beliau tidak akan dijemput merasmikan mesyuarat 
bahagian UMNO di seluruh negara, Muhyiddin berkata ia merupakan hak 
bahagian tersebut.
“Saya sedar mungkin di peringkat awal, banyak orang masih terkejut, 
saya fikir bila keadaan sudah semakin stabil, mereka akan melihat sama 
ada saya perlu jalankan tugas sebagai Timbalan Presiden dengan 
berkesan,” katanya.
Katanya beliau tidak mempunyai masalah untuk membantu Bahagian UMNO 
yang memerlukan pertolongannya khususnya dalam menghadapi pilihan raya 
umum akan datang.
Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana UMNO Johor telah menyatakan
 tidak akan menyekatnya menjalankan tugas parti di negeri itu.
Muhyiddin juga berkata beliau akan menghadiri mesyuarat Majlis 
Tertinggi UMNO seperti biasa serta tidak merasa bimbang dan terhalang.
“Ahli MT sudah berpengalaman dan tahu tanggungjawab, mereka bersikap 
adil dan terbuka dan memberikan ruang pendapat. Saya tidak fikir perkara
 luar biasa akan berlaku kerana mesyuarat MT biasa saya hadiri,” 
katanya. 
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment