Thursday, July 30, 2015
PKR Sedia Terima Parti Politik Baharu Termasuk GHB - Azmin
SHAH ALAM : Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan kesediaannya untuk
menerima usaha mana-mana kumpulan termasuk Gerakan Harapan Baru (GHB)
yang ingin bergerak sebagai sebuah parti politik.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata pendirian tersebut
jelas menunjukkan sikap keterbukaan parti itu selagi kumpulan terbabit
boleh mendukung agenda reformasi yang menjadi teras penubuhan PKR.
"Kita boleh sama-sama dalam satu muafakat. Perkara ini akan terus
berkembang. Sekarang kita ada tiga anggota (dalam Pakatan Rakyat) dan
mungkin bertambah menjadi lima atau enam.
"Asalkan mereka boleh komited dengan agenda reformasi," katanya kepada
pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Invest Selangor,
di sini Rabu.
Invest Selangor merupakan sebuah agensi kerajaan negeri yang menyediakan
maklumat dan khidmat nasihat kepada bakal pelabur di Selangor.
Ketika ditanya mengenai laporan bahawa GHB sedang mengenal pasti sama
ada untuk bergerak melalui Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA)
atau Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) sebagai platform alternatif
kepada PAS, Mohamed Azmin menyatakan beliau tidak mengetahui mengenai
perkara itu.
Namun jelasnya, jika usaha gerakan itu wujud, polisi parti yang terlibat
mestilah komited dengan prinsip yang diguna pakai Pakatan Rakyat
sebagaimana yang dipersetujui oleh PKR dan DAP.
Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Selangor itu menafikan khabar
angin yang mendakwa beliau akan melakukan rombakan barisan Exco kerajaan
negeri berikutan kemelut hubungan antara PAS dan DAP.
Mohamed Azmin enggan mengulas lanjut mengenainya; sekadar menjawab ringkas, "Tiada rombakan".
Baru-baru ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menyatakan parti itu
bersedia menamatkan hubungan dengan PKR jika parti itu bersetuju
menyertai DAP dan GHB untuk membentuk satu pakatan pembangkang yang
baharu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment