 
 Friday, July 31, 2015
Perdana Menteri Buktikan Beliau Memang "Anak Jantan"
EDITOR MENULIS...
31 JULAI 2015
Saya akui, memang benar ramai yang marah dan kecewa dengan keputusan 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggugurkan Tan Sri 
Muhyiddin Yassin dari jawatan Timbalan Perdana Menteri semalam.
Saya tahu, ramai yang mempertikai dan bertanya, apakah sebab Mohd 
Najib menggugurkan Muhyiddin dari jawatan nombor dua negara itu. Apakah 
kerana beliau mempertikai tentang soal 1MDB dalam ucapannya di Cheras 
baru-baru ini?
Menerusi penjelasan Mohd Najib berhubung keputusannya menggugurkan 
Muhyiddin, Perdana Menteri itu akui bahawa bukan mudah untuknya 
menggugurkan sahabatnya itu dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. 
Memang sukar. Jika saya ditempat Najib sekalipun, penulis akui ia 
satu keputusan yang amat sukar.
Namun setelah difikirkan sebab Muhyiddin digugurkan semalam, saya 
akui sememangnya Mohd Najib perlu bertindak tegas sedemikian bagi 
memastikan barisan kabinet yang diketuainya itu bergerak dan bersatu 
dalam satu jemaah menteri dalam saf yang sama.
Mungkin benar, Muhyiddin digugurkan atas pendiriannya yang tidak yakin 
dengan isu 1MDB. Mungkin pada bekas Timbalan Perdana Menteri itu, 1MDB 
begitu menekan beliau selaku orang nombor dua di dalam kerajaan. Itu 
saya tidak nafikan.
Yang menghairankan saya, jemaah menteri telah berkali-kali diberi 
penjelasan, taklimat dan berbincang secara terbuka mengenai isu 1MDB. 
Bukan sekadar itu sahaja, naskhah mengenai 1MDB turut diedarkan kepada 
semua jemaah menteri, termasuk Muhyiddin sendiri.
Lagipun, selaku Timbalan kepada Mohd Najib, Muhyiddin boleh berjumpa 
dengan Perdana Menteri setiap hari untuk bertanya tentang 1MDB. Soalnya,
 mengapa beliau perlu baca The Edge untuk memahamkan dirinya tentang 
1MDB? The Edge bukannya CEO 1MDB pun, kan?
Apatah lagi akhbar berkenaan sedang digantung dan disiasat pihak 
berkuasa atas dakwaan menyiarkan laporan palsu yang berasaskan fakta 
yang telah diubah suai. Malah turut dikatakan tentang wujudnya agenda 
konspirasi menjatuhkan Kerajaan Malaysia dengan bersenjatakan 1MDB. 
Jadi, mengapa pula The Edge pula yang menjadi rujukan Muhyiddin?
Setelah berkali-kali diberi penjelasan, masih juga Muhyiddin tidak yakin?
Baiklah. Mohd Najib arahkan pula Pasukan Petugas Khas menyiasat isu 
berkenaan secara bebas dan terperinci. Tidak bolehlah Muhyiddin sabar 
sekejap untuk hasil siasatan tersebut bagi mengubati gundah-gulananya 
terhadap isu 1MDB itu?
Sebelum ini, Mohd Najib pernah mengingatkan barisan kabinetnya supaya 
meletak jawatan secara terhormat jika tidak yakin dengan kepimpinannya. 
Bukanlah beliau hendak benci atau tidak suka, cuma jika hilang keyakinan
 pada "boss", bagaimana hendak buat kerja, kan?
Tapi tidak ada seorang pun yang berani meletak jawatan. Kononnya semua 
mereka yakin pada Najib? Tapi bila ada kesempatan, mereka "tembak" pula 
Perdana Menteri secara terbuka? Mereka ingat Najib "buta"? Silap 
besarlah...
Hasilnya, ada yang digugurkan semalam, kan? Mahu marahkan Mohd Najib? 
Pada penulis, Mohd Najib wajar bertindak tegas dalam pentadbirannya. 
Saya kira, beliau kini sedang mengikuti jejak langkah Tun Dr Mahathir
 yang sememangnya "kaya" dengan Timbalan Perdana Menteri, kan?
Saya yakin, Muhyiddin sedar dan akur dengan keputusan Najib. Itu hak Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan, bukan?
Apapun yang berlaku semalam menunjukkan Mohd Najib sememangnya terbukti 
anak jantan. Beliau tidak seperti yang dimomokkan sebagai tidak tegas 
dan "lembik" khususnya bagi mereka yang bersekongkol dengan pihak 
pembangkang.
Dalam memacu kelancaran sebuah negara, pemimpin yang tegas amat 
diperlukan dalam memastikan dasar dan perlaksanaannya berjalan seiring 
tanpa timbul sebarang perasaan tidak yakin. Perasaan tidak yakin itu 
telah "dibuang" semalam.
Perlu diingat, Mohd Najib bukan mengetuai sebuah gerai burger tepi jalan
 atau perniagaan maruku yang mudah diuruskan. Keyakinan bukan perkara 
main-main dalam memastikan kestabilan politik negara, kan?
Jadi, matanglah sedikit dengan komen kita dalam menjustifikasi tindakan Mohd Najib itu, bukan berlandaskan emosi, kan?
Disediakan oleh : 
 
 
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment