Wednesday, July 29, 2015
Puteri UMNO Johor Mahu Semua Ahli Teruskan Berjuang Atas Nama Parti
30 Julai 2015,. Pagoh : Ketua Puteri UMNO Negeri Johor, Rohaizah Ahmad 
berkata, walau apapun yang terjadi, perjuangan parti perlu diteruskan 
apatah lagi untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14) tidak 
lama lagi.
Maka oleh itu ujarnya, semua ahli UMNO khususnya Puteri harus terus 
bersatu hati dan menjadikan mesyuarat UMNO Bahagian yang telah bermula 
ini sebagai satu landasan terbaik bagi semua ahli kembali kepada 
perjuangan parti yang sebenar.
“Kita UMNO telah berusia 69 tahun, sepanjang tempoh itu telah ramai 
pemimpin yang datang dan pergi. Maka, walaupun ada yang membuatkan kita 
tidak berpuas hati, janganlah menjadikan itu sebagai alasan untuk kita 
membelakangkan ikrar janji yang telah dibuat.
“Fikirkanlah masa hadapan anak cucu kita kelak. Oleh itu, teruskanlah berjuang atas nama parti,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Selain itu, Rohaizah berharap semua ahli Puteri khususnya di akar umbi bertenang dan jangan cepat melatah.
Tambahnya lagi semua ahli harus sedar, walaupun kancah politik UMNO 
kini dihimpit dengan pelbagai kontroversi namun semua ahli harus terus 
bersatu dan jangan biarkan mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil 
kesempatan mengeruhkan lagi keadaan.
“Seperti contoh pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada senarai
 kabinet. Beliau masih lagi Timbalan Presiden UMNO, itu yang penting 
malah apa yang terjadi ini, beliau terima dengan baik.
“Beliau tetap akan meneruskan perjuangan parti. Jadi kita perlu jadi 
begitu juga. Tidak kira siapa ketua kita, yang penting buat kerja dan 
pastikan parti keramat UMNO terus kukuh dan diterima rakyat,” katanya.
Namun beliau amat berharap agar segala persoalan terjawab dan semua 
pemasalahan yang melanda parti dapat diselesaikan dengan baik.
“Ini amat penting bagi memastikan gerak kerja untuk PRU-14 tidak 
terjejas. Masih banyak kerja yang perlu kita lakukan. Kita harus terus 
fokus demi PRU-14,” ujar Rohaizah.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment