Wednesday, July 29, 2015

Dilema Kamaruddin Dan Hatta - Pulang Pada PAS Atau Talak Isteri

Rupa-rupanya tidak semua wakil rakyat PAS baik di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun di Dewan Rakyat perlu berbai’ah isteri mereka jatuh talak tiga jika mereka mengkhianati perjuangan PAS.

Ia bergantung pada kepimpinan PAS negeri-negeri untuk mewajibkan perkara tersebut dimasukkan atau tidak dalam lafaz bai’ah setiap calon wakil rakyat dalam mana-mana pilihanraya.

Pada pilihanraya umum ke-13 dua tahun lalu, cuma PAS Kelantan sahaja yang masih mewajibkan lafaz bai’ah talak tiga itu. Calon-calon wakil rakyat PAS di negeri lain tidak perlu melafazkan klausa talak isteri itu.

Ini bermakna mana-mana ADUN dan Ahli Parlimen Kelantan yang terbabit dengan usaha melemahkan PAS akan secara automatik dihukum sudah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.

Pemimpin-pemimpin PAS Pusat terutama daripada Dewan Ulama sudah memberikan penjelasan seluas-luasnya berhubung motif, kesahihan bai’ah di segi syariat dan juga akibat jika bai’ah itu dilanggar.

Ini segera dituruti dengan ulama pelbagai peringkat di luar PAS juga memberi ulasan dan pandangan mereka berhubung isu ini. Setakat ini belum ada muafakat tuntas dan muktamad dicapai.

Bai'ah elak ahli PAS belot

Namun bagi PAS ia adalah satu ikhtiar politik dan usaha untuk menjaga akidah perjuangan parti dan ahli-ahli parti yang dipilih sebagai calonnya dalam mana-mana pilihanraya.

PAS tidak menganggap bahawa bai’ah sedemikian meletakkan isteri ahli-ahli yang terbabit sebagai cagaran politik. Bagi PAS perjuangannya total – dunia akhirat; politik parti dan politik rumahtangga adalah terkait erat.

Maka jika sayang dan dambakan kehidupan sejahtera di dunia dan akhirat serta kerukunan rumahtangga sebelum dan selepas menjadi calon, usahlah terlintas di hati atau bertindak untuk melemah dan meranapkan perjuangan PAS.

“Dalam konteks Pas,  bai’ah ini ada dua. Yang pertama bai’ah ahli umum bila mereka mengisi borang Pas. 

Walaupun kita tidak namakan ia sebagai bai’ah tetapi mereka mengisi borang Pas mengakui dengan nama Allah, masuk Pas untuk menegakkan syariat Islam.

“Walaupun berhadapan dengan pelbagai isu sama ada isu dalaman atau luaran, supaya ahli (boleh) tahan, kita (Pas) ikat mereka dengan bai’ah,” kata Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

Adapun pengukuhan akidah perjuangan di peringkat kepimpinan, kata beliau, bai’ah menjadi semakin perlu kerana banyak cabarannya seperti terjebak isu membeli calon, isu lompat parti, isu khianat parti yang menggoda mereka.

“Kita buat bai’ah mengikat calon kita biar lebih istiqamah dengan perjuangan Islam kerana bila kita ikat mereka dengan bai’ah, Insya-Allah calon ada ketahanan dan sebelum bertindak, ingat apa janji dengan parti,” katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment