 
 Wednesday, July 29, 2015
Muhyiddin Akan Lepaskan Jawatan Dalam Parti?
Semua
 pemerhati politik tertumpu kepada gerakan yang akan dibuat oleh 
Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. Beliau 
menyatakan akan mengada sidang akhbar di kediamannya di Bukit Damansara 
jam 11 pagi ini. 
 
 
Muhyiddin mempunyai beberapa gerakan yang perlu difikirkan dengan mengambil kira risiko yang bakal beliau hadapi.
Pertama, Muhyiddin akan mengumumkan untuk terus memegang jawatan 
dalam parti sebagai Timbalan Presiden UMNO dan menjadi ejen “Check and 
Balance” kepada pentadbiran kerajaan. 
Jika keputusan ini diambil, UMNO akan terus berada dalam keadaan tidak tenteram dan kacau bilau buat beberapa ketika lagi. 
Keputusan ini juga akan menyaksikan Muhyiddin berhadapan risiko 
seperti mana Timbalan-timnbalan Presiden UMNO terbuang sebelum ini. Sama
 ada mereka dimalukan seperti Tun Musa Hitam atau berhadapan dengan 
pemecatan dari parti seperti mana Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun 
Razak sudah membuktikan beliau bersedia bertindak drastik, “kejam” dan 
kasar jika ia perlu untuk menang dalam pilihan raya akan datang.
Kedua, Muhyiddin atas sikap sayangkan parti membuat keputusan 
melepaskan jawatan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO bagi memberi 
laluan Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memangku dan 
menyusun semula UMNO bagi berhadapan pilihan raya umum. 
Dengan cara ini beliau boleh sahaja kembali mencabar kepimpinan parti
 jika Barisan Nasional mendapat keputusan yang lebih buruk atau bersara 
secara terhormat.
Muhyiddin boleh menurut jejak langkah Musa Hitam dan Anwar Ibrahim 
menentang UMNO. Kita tahu di mana dan apa pencapaian mereka hari ini.
Namun Muhyiddin juga berhadapan dengan faktor usia. Pada usia 69 
tahun, Muhyiddin tidak mempunyai kelebihan faktor usia seperti mana Musa
 dan Anwar untuk terus kekal relevan dalam jangka masa yang panjang.
Dalam mesyuarat UMNO Bahagian Pagoh tahun lalu, Muhyiddin menyatakan 
ini merupakan penggal terakhir beliau sebelum bersara. Namun peluang 
yang terhidang sejak 6 bulan lalu mengubah persepsi Timbalan Presiden 
UMNO.
Muhyiddin mungkin menyangka ada peluang mencabar kepimpinan Mohd 
Najib dan merampas kepimpinan. Beliau juga mungkin diberi gambaran salah
 oleh kumpulan Tun Mahathir bahawa mereka mempunyai cukup kekuatan dan 
kemampuan untuk menjayakan konspirasi menjatuhkan Najib.
Namun pemilihan telah ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya. Penangguhan ini turut dipersetujui oleh beliau.
Muhyiddin mungkin berharap jika diasak cukup kuat oleh beliau, Shafie
 Apdal dan Tun Mahathir, Mohd Najib akan berundur secara sukarela dan 
memberi lalu “permaidani merah” kepadanya. Namun jelas ia tidak berlaku. 
Sebaliknya Mohd Najib mengadakan rombakan bagi mengukuhkan pasukan 
pentadbirannya dan tiada siapa pernah terfikir Perdana Menteri yang 
diejek lembik dan lembut ini menggugurkan Timbalan Presiden dan seorang 
Naib Presiden.
Justeru, pilihan terbaik buat Muhyiddin ialah bersara secara 
terhormat dan menanti peluang untuk membuat “comeback” jika ada peluang.
Apapun keputusan terletak kepada Muhyiddin sama ada mahu mencari 
jalan penuh risiko pada usia 69 tahun, atau mencari jalan damai dan akan
 dikenang ramai sebagai “orang parti tulen” seperti mana allahyarham Tun
 Ghafar Baba.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment