Wednesday, July 29, 2015
Malaysia Tak Akan Meterai TPP Di Hawaii...Puak PR Lebih Sudu Daripada KUAH
KUALA LUMPUR : Malaysia tidak akan memeterai Perjanjian Perkongsian 
Trans-Pasifik (TPPA) di mesyuarat menteri-menteri di Hawaii bermula 
28-31 Julai, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk 
Seri Mustapa Mohamed.   
Mustapa, yang mengetuai pasukan perunding Malaysia terdiri daripada 
lebih 20 kementerian dan agensi, berkata: "Permeteraian TPP tidak akan 
berlaku di Hawaii."
Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, seperti Malaysia, setiap 
anggota TPP perlu melalui proses domestiknya sendiri sebelum keputusan 
akhir untuk memeterai dan mengesahkan perjanjian dibuat.
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi rundingan TPP, menjadi 
tanggungjawab saya untuk memastikan perlembagaan, kedaulatan dan dasar 
teras negara kita, termasuk kepentingan masyarakat Bumiputera, 
dilindungi dan dipertahankan.
"Objektif kami pada mesyuarat ini adalah untuk memastikan kepentingan dan kebimbangan Malaysia ditangani," katanya.   
Beliau berkata selepas lima tahun, rundingan TPP bakal dimuktamadkan dan
 pada tahap ini negara-negara perlu membuat keputusan yang sukar.   
"Seperti dalam semua rundingan, keputusan muktamad perlu dibuat," katanya.   
Beliau berkata kerajaan mengambil pendirian tegas dalam TPP, yang mana 
perlembagaan, kedaulatan dan dasar-dasar teras negara seperti 
pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan agenda Bumiputera akan
 dilindungi.   
"Saya menyeru rakyat Malaysia agar berfikiran terbuka tentang TPP. 
Memahami bahawa walaupun terdapat kos, namun terdapat juga manfaatnya 
kepada negara," katanya.   
Mustapa berkata, maklum balas daripada semua pihak berkaitan TPP 
membantu membimbing dan mempengaruhi pendirian rundingannya bagi 
pelbagai isu yang dibincangkan.   
Beliau berkata, kemudiannya nanti, dokumen akhir bersama dengan dua 
analisis kos-dan-manfaat akan dibentangkan kepada umum dan Parlimen.   
Keputusan sama ada untuk memeterai atau menolak TPP akan menjadi keputusan bersama rakyat Malaysia, katanya.
Mustapa berkata, TPP tidak menghalang kerajaan daripada meneruskan dan 
mengawal selia objektif dasar awam yang sah, terutamanya dalam bahagian 
seperti  keselamatan negara, persekitaran sihat awam dan kebajikan 
rakyat.   
Dalam pada itu, terdapat beberapa perlindungan yang sedang dirundingkan 
bagi menangani kebimbangan utama termasuk mengelak cabaran remeh oleh 
pelabur, katanya.   
"Perlu diketahui bahawa mekanisme Penyelesaian Pertikaian Negara Pelabur (ISDS) bukan suatu yang baharu bagi Malaysia.     
"Kita telahpun mempunyai 74 perjanjian pelaburan dua hala dan lapan 
perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang mengandungi peruntukan ISDS," 
katanya.   
Mengenai pemerolehan kerajaan, Mustapa berkata, Malaysia melindungi 
keutamaan Bumiputera dengan memastikan keutamaan perusahaan kecil dan 
sederhana Bumiputera dikekalkan.   
Mengenai kawalan modal, Malaysia berjaya mempertahankan haknya untuk 
memastikan terdapat ruang dasar mencukupi bagi mengurangi sebarang kesan
 negatif  aliran modal dan memelihara kestabilan kewangan dan 
makroekonomi, katanya.
Beliau berkata satu lagi kebimbangan utama ialah dakwaan bahawa harga 
ubat-ubatan akan meningkat tinggi akibat daripada perlindungan paten.   
Bagaimanapun, pada hakikatnya, klausa perlindungan paten dalam TPP tidak
 berbeza daripada peraturan Malaysia sekarang bagi perkara ini, kata 
Mustapa.   
Malaysia mendapati bahawa TPP menyediakan akses pasaran kepada empat 
rakan dagangan yang negara tidak mempunyai FTA dengannya - AS, Kanada, 
Mexico dan Peru, katanya.   
Mengenai Islam, Mustapa memberi jaminan bahawa tidak ada apa dalam TPP 
yang boleh mengancam kedudukannya sebagai agama rasmi Malaysia dan 
kerajaan tidak akan membenarkan sebarang FTA yang boleh menjejaskan 
peruntukan perlembagaan ini.   
Mengenai kebimbangan umum TPP dirundingkan 'secara rahsia', beliau 
berkata: "Dalam rundingan antarabangsa, teks rundingan biasanya tidak 
dikeluarkan kepada orang awam. Bagaimanapun, semua isu yang dirundingkan
 dibincang secara terbuka."   
Beliau berkata rakyat Malaysia akan mendapat akses kepada teks penuh sekiranya satu persetujuan dicapai. 
Dipetik daripada sumber : Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment