 
 Wednesday, July 29, 2015
Mohd Salleh Sedia Dengar Pandangan Dalam Pelaksanaan Dasar Kerajaan
Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu 
Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak berkata beliau 
sentiasa bersedia mendengar pandangan-pandangan membina dalam 
melaksanakan dasar-dasar kerajaan.
 
 
Ini, katanya, sejajar dengan konsep kepimpinan kerja berpasukan yang 
menggunakan pendekatan mendengar dan melihat apa yang terbaik agar 
rakyat dapat memahami dengan jelas dan menerima dasar-dasar kerajaan.
“Dalam bekerja kita tidak boleh bekerja seorang diri, kita kena 
melihat idea-idea di luar sana dan lihat bagaimana untuk memperbaiki 
keadaan,” katanya kepada pemberita selepas upacara angkat sumpah jawatan
 sebagai anggota Dewan Negara di sini hari ini.
Upacara itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di bangunan Parlimen.
Dr Mohd Salleh kemudian mengangkat sumpah jawatan dan kerahsiaan 
sebagai menteri persekutuan bersama beberapa anggota baru jemaah menteri
 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di 
Istana Negara di sini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam 
pengumuman senarai Kabinet yang baharu menamakan Mohd Salleh sebagai 
Menteri Komunikasi dan Multimedia menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery 
Cheek, yang bertukar portfolio sebagai Menteri Pertanian dan Industri 
Asas Tani.
Dalam reaksi awalnya semalam, Mohd Salleh berikrar untuk memastikan 
semua dasar di bawah kepimpinan Najib akan dapat dilaksanakan dengan 
sebaik-baiknya.
Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan kepadanya.
Pada upacara angkat sumpah jawatan sebagai anggota Dewan Negara pagi 
ini, Speaker dewan itu Abu Zahar dalam ucapannya meminta Mohd Salleh 
supaya memainkan peranan dalam menyatupadukan rakyat terutamanya dalam 
situasi negara yang dilihat bergelora sejak kebelakangan ini.
“Pengalaman dan ilmu YB (Yang Berhormat) semasa menjadi Speaker Dewan
 Undangan Negeri Sabah menjadi perkara yang penting untuk dipraktikkan 
sebagai menteri,” katanya.
Sebelum ini, Mohd Salleh, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, 
merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, jawatan yang disandangnya
 dari tahun 2011.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment