Wednesday, July 29, 2015
TPM Baru: Mengenali Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang diumumkan sebagai
Timbalan Perdana Menteri yang baharu, mempunyai pengalaman lebih 30
tahun dalam bidang politik selain berpengalaman luas dalam bidang
perniagaan perbankan.
Beliau, yang turut kekal sebagai Menteri Dalam Negeri dalam barisan
Kabinet baharu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang
diumumkan hari ini, telah juga menyandang beberapa jawatan lain dalam
pentadbiran kerajaan sebelum ini.
Berkelulusan PhD-Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Ahmad
Zahid, 62, anak kelahiran Bagan Datoh, Perak, mula menjadi anggota
Kabinet sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2008-2009) semasa
pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau kemudian menyandang jawatan Menteri Pertahanan (2009-2013)
sebelum bertukar ke portfolio sekarang sebagai Menteri Dalam Negeri
sejak 16 Mei 2013.
Sebelum menjadi anggota kabinet, beliau pernah berkhidmat dalam
pertadbiran kerajaan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan pada tahun
2004 dan Timbalan Menteri Penerangan (2006-2008).
Hubungan kerja antara Ahmad Zahid dengan Najib telah agak lama terjalin
kerana beliau pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Najib
semasa Perdana Menteri pada ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan
dan Menteri Pertahanan (kesemuanya dari 1987-1993).
Sebelum daripada itu beliau telah dilantik sebagai anggota Dewan Negara selama satu penggal dari tahun 1991 hingga 1994.
Beliau mula bergiat aktif dalam politik apabila dipilih sebagai Ketua
Pergerakan Pemuda Umno bahagian Bagan Datoh pada 1984 dan dari sini,
beliau terus mendaki tangga dalam perjuangan politik Umno peringkat
nasional sehingga berjaya terpilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno
Malaysia (1996-1999).
Pergerakan politiknya hanya terencat seketika apabila timbul krisis di
antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim yang menyaksikan beliau
terpaksa melepaskan jawatannya sebagai ketua Pemuda Umno Malaysia
selepas ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua
minggu.
Namun pada pemilihan Majlis Tertinggi (MT) Umno pada tahun 2000, Ahmad
Zahid kembali ke arus perdana parti itu dengan memenangi salah satu
kerusi berkenaan dan terus kekal sebagai anggota MT sehingga 2007.
Ahmad Zahid kemudiannya terpilih sebagai seorang daripada tiga Naib
Presiden Umno selama dua penggal iaitu pada 2008-2011 dan 2013-2016.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, beliau telah mengekalkan kerusi
Parlimen Bagan Datoh untuk penggal kelima berturut-turut selepas
menewaskan Madhi Hasan (Parti Keadilan Rakyat) dengan majoriti 2,108
undi. Ahmad Zahid memperoleh 17,176 undi.
Beliau telah dipilih sebagai Ketua Umno Bahagian Bagan Datoh sejak 1995 dan mengekalkan jawatan itu sehingga sekarang.
Sebelum menceburi bidang politik, Ahmad Zahid juga berpengalaman dalam
sektor perbankan dan berkhidmat di beberapa bank seperti OCBC sebagai
pegawai bank (1976-1977), di Bank Simpanan Nasional (BSN) sebagai
penolong pengurus (1977-1979) dan di Permodalan Nasional Berhad (PNB)
sebagai pengurus pemasaran Amanah Saham Nasional (ASN) (1979-1984).
Pengalaman luas beliau dalam bidang perbankan itu telah kemudian membawa
beliau dilantik sebagai Pengerusi Bank Simpanan Nasional dari tahun
1994 hingga 1999 dan pernah dilantik sebagai Pengerusi Syarikat
Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada 2000.
Ahmad Zahid mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai
Balai, Rungkup sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Agama
Izuddin Shah, Ipoh dan Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Beliau kemudian melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1976.
Ahmad Zahid memperoleh ijazah Sarjana Sains (Komunikasi Korporat) pada
tahun 2000 dan kemudiannya ijazah doktor falsafah PhD-Komunikasi dari
UPM.
Hasil perkongsian hidupnya dengan Datin Seri Hamidah Khamis, 60, mereka
dikurniakan dua puteri Nurulhidayah, Nurulizawani dan tiga putera, Ahmad
Khairul Hafies, Ahmad Syafiq Hazieq, Ahmad Asyraf Arief.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment