Wednesday, July 29, 2015
Bai'ah Talak Tiga Tak Langgar Syarak - Azman Shapawi Pulak Dohhh
KUALA LUMPUR : Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Terengganu Azman Shapawi Abdul
Rani menganggap sumpah bai'ah talak tiga yang dilafazkan wakil rakyat
parti itu di Kelantan menunjukkan nilai kesetiaan mereka yang tinggi
dalam memikul tanggungjawab diberikan.
Selain itu beliau berkata mekanisme yang terkandung dalam lafaz bai'ah
yang dibuat wakil rakyat PAS di Kelantan sejak 2004 tidak bercanggah
dengan hukum syarak.
"Apa yang berlaku di Kelantan sejak zaman (Allahyarham) tok guru (Datuk)
Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) satu perkara yang kita anggap tidak
bercanggah dengan syarak.
"Sebab kita sedang memikul amanah yang sangat serius iaitu melibatkan
perjuangan Islam itu sendiri maka berlaku bai'ah dan janji setia kita
kepada Allah," katanya kepada Antarapos.
Beliau mengulas isu sumpah bai'ah wakil rakyat PAS yang semakin hangat
dipolemikkan selepas dikaitkan dengan talak tiga terhadap isteri
masing-masing sekiranya meninggalkan parti.
Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengesahkan
adanya sumpah bai'ah talak tiga yang perlu dilafazkan wakil rakyat di
negeri itu jika meninggalkan parti itu untuk menyertai parti lain.
Beliau berkata setiap wakil rakyat PAS di negeri itu yang mengambil
keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan secara automatik
dianggap menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.
Isu itu timbul berikutan beberapa calon PAS yang bertanding dan menang
pada pilihan raya lalu dikatakan akan meninggalkan parti untuk menyertai
Harapan Baru.
Jangan main-main dengan sumpah bai'ah yang dilafazkan
Tegas Azman Shapawi, sumpah bai'ah adalah cara menyatakan kesetiaan ahli
PAS dan kaedah melafazkannya tidak terikat dengan satu cara kerana ia
berbeza dari segi istilah dan kandungan.
"Apa yang berlaku di Kelantan kita anggap tidak menyeleweng daripada kehendak hukum agama.
"Malah kadang-kadang janji kita itu nampak macam sangat dahsyat tetapi
itu menggambarkan kesetiaan kita dalam memegang satu amanah yang sangat
penting," katanya.
Beliau menambah sumpah bai'ah tidak boleh dipandang ringan kerana ia menunjukkan kesetiaan terhadap perjuangan parti Islam itu.
"Bai'ah yang kita pegang jangan buat main-main, jangan buat sambil lewa
dan jangan buat seperti melepaskan bantuk di tangga maka berlakulah
perkara yang kita rasa agak berat untuk kita laksanakan dalam kehidupan
kita," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment