Wednesday, July 29, 2015
Perdana Menteri Berhak Lakukan Rombakan Kabinet - Mukhriz Mahathir
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak untuk melakukan
 rombakan Kabinet dan semua pihak perlu menerima perubahan yang 
dilakukannya, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Beliau melahirkan keyakinan bahawa perdana menteri telah pun memikirkan 
'semasak-masaknya' tentang apa yang terbaik untuk kerajaan dan politik.
"Perdana menteri mempunyai hak untuk membuat sebarang rombakan (Kabinet)
 dan beliau telah menggunakan kuasa beliau untuk melakukan rombakan 
semalam. Kita mesti terima apa-apa sekali pun perubahan," katanya kepada
 pemberita di Alor Star, Rabu.
Dalam rombakan Kabinet semalam, Najib menggugurkan Tan Sri Muhyiddin 
Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan.Beliau 
melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana 
Menteri baharu, selain mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Dalam 
Negeri.
Selain itu, perdana menteri turut melantik tujuh muka baharu sebagai 
menteri dalam barisan Kabinetnya dan menggugurkan empat menteri serta 
satu timbalan menteri daripada jawatan mereka.Beliau turut membawa masuk
 beberapa muka baharu sebagai Timbalan Menteri.
Mengenai pertemuan dengan Muhyiddin di kediamannya semalam, Mukhriz 
berkata ia adalah kunjungan biasa untuk mengucapkan terima kasih kepada 
Muhyiddin di atas jasa-jasanya terhadap Kedah selama ini.
"Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, banyak sekolah
 dan pelajar-pelajar di Kedah menerima faedah daripada penyaluran 
peruntukan yang diluluskan oleh Muhyiddin.
"Atas sebab itu, saya rasa terpanggil untuk sekurang-kurangnya berjumpa 
dengan beliau (Muhyiddin) dan mengucapkan terima kasih banyak daripada 
kerajaan negeri Kedah di atas semua budi baik beliau," katanya.
Rombakan semalam turut menyaksikan dua pemimpin dari Kedah iaitu bekas 
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir 
Khalid dilantik sebagai Menteri Pendidikan manakala Anggota Parlimen 
Kubang Pasu, Datuk Seri Johari Baharom dilantik sebagai Timbalan Menteri
 Pertahanan.Pelantikan Mahdzir sebagai Menteri Pendidikan, yang dianggap
 jawatan kanan dalam Kabinet, merupakan satu penghormatan kepada Kedah, 
kata Mukhriz sambil mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri.
"Ia adalah kementerian yang amat mustahak," katanya dan mengucapkan tahniah kepada Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah.
Ditanya sama ada rombakan Kabinet semalam akan menimbulkan masalah 
kepada UMNO, Mukhriz berkata beliau yakin Najib selaku Presiden parti 
telah membuat penilaian mendalam tentangnya.
"Saya rasa Presiden sudah tentu menilai sedalamnya mengenai reaksi dan 
persepsi rakyat terhadap rombakan ini, kerana tentunya kita berusaha 
untuk mengukuhkan kedudukan kita menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 
(PRU-14)," katanya.
Menurutnya Najib mungkin melakukan kajian tertentu bagi mengukuhkan 
rasional di sebalik keputusan melakukan rombakan Kabinet itu.Mengenai 
mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Jumaat ini, Mukhriz berkata beliau 
difahamkan sesi penerangan tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) 
akan diadakan selain kemungkinan adanya perbincangan mengenai rombakan 
Kabinet. 
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment