 
 Thursday, July 30, 2015
MH370: Malaysia Hantar Pasukan Untuk Pastikan Serpihan Milik MH370
Malaysia sudah mengirim satu pasukan pakar ke 
Pulau Reunion di Lautan Hindi untuk memastikan sama ada serpihan pesawat
 yang ditemui di sana, milik Malaysia Airlines penerbangan MH370.
 
 
Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan hari ini berkata 
pasukan itu dianggotai pakar daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), 
Malaysia Airlines dan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia untuk MH370.
“Kami juga berhubung dengan Biro Siasatan dan Analisis (BEA) iaitu 
agensi penyiasat kemalangan pesawat udara Perancis mengenai penemuan 
ini,” tambah kenyataan itu.
Dilaporkan serpihan daripada sayap pesawat itu dihanyutkan ke pulau 
tersebut awal pagi ini yang berkemungkinan milik MH370 yang hilang 
bersama 239 penumpang dan anak kapal pada awal Mac tahun lepas.
Kementerian Pengangkutan berkata ia masih terlalu awal untuk membuat 
sebarang andaian sehingga terdapat bukti sahih serpihan tersebut milik 
pesawat yang hilang itu.
Kementerian itu menjelaskan ia akan membuat pengumuman sebaik semua bukti dapat disahkan.
Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac tahun lalu ketika 
dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 
penumpang dan 12 anak kapal.
Pada 29 Jan tahun ini, DCA mengumumkan kehilangan pesawat itu sebagai
 kemalangan mengikut peraturan penerbangan antarabangsa, dan semua 239 
orang di dalamnya dianggap terkorban.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment