Wednesday, July 29, 2015
Rombakan Kabinet, Ahli UMNO Diminta Bertenang dan Beri Kepercayaan Kepada PM
KUALA LUMPUR : Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor meminta semua barisan kepimpinan UMNO di peringkat
Negeri, Bahagian dan Cawangan serta ahli-ahli UMNO di akar umbi untuk
bertenang dan memberi sepenuh kepercayaan kepada Presiden parti, Datuk
Seri Mohd Najib Tun Razak berkaitan keputusan beliau melakukan rombakan
kabinet hari ini.
“Sewajarnya, keputusan YAB Presiden melakukan rombakan kabinet tidak
perlu dipersoalkan sebagaimana hak beliau yang memegang amanah bagi
memastikan barisan Jemaah Menteri kukuh dalam menghadapi cabaran
mengurus tadbir negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu beliau menyeru ahli-ahli UMNO untuk terus bersatu
padu, memperteguh muafakat dan memperkukuh tekad dalam memastikan parti
terus teguh serta dapat bersama-sama mempertahankan kesejahteraan
negara.
Selaras dengan itu, beliau juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi yang telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri
Malaysia, juga tahniah kepada barisan anggota kabinet yang baharu
dilantik.
“Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan berterima
kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang telah menerajui
kepimpinan selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia sebelum ini, juga
kepada Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hassan Malek yang telah
mencurahkan khidmat bakti dalam kementerian masing-masing sebelum ini.”
Sebelum itu, pada 1.50 petang tadi Perdana menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak mengumumkan telah mengumumkan Zahid Hamidi sebagai timbalan
perdana menteri baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang
digugurkan daripada barisan Kabinet.
Perubahan portfolio turut melibatkan menteri lain antaranya Datuk
Seri Shabery Cheek dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas
Tani, Datuk Seri Reezal Merican (Timbalan Menteri Luar), Datuk Wan
Junaidi (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Seri Mohd Salleh
Keruak (Menteri Komunikasi dan Multimedia), dan Datuk Ahmad Maslan
(Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Ismail Sabri
Yaakob (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), dan Mahdzir Khalid
(Menteri Pendidikan).
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment