Wednesday, July 29, 2015
Bertindak Cepat Selesai Isu-Isu Semasa - Tun Abdullah
Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan harapan 
barisan kabinet baharu dapat bertindak cepat dalam menyelesaikan isu-isu
 semasa.Beliau berkata rakyat menanti perubahan dan kebaikan yang akan 
dilaksanakan barisan kabinet baharu itu.
"Kalau tunggu-tunggu akan membawa lebih banyak kesusahan. Tindakan cepat
 itu yang mesti dibuat segera, untuk membawa apa jua kebaikan sebagai 
kesan daripada rombakan," katanya ketika diminta mengulas harapan beliau
 terhadap barisan kabinet baharu.
Dalam masa sama, Abdullah berharap barisan kabinet baharu yang 
menyaksikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan 
Perdana Menteri yang baharu, diberi peluang untuk melaksanakan apa yang 
dirancang.
"Bukan satu perkara yang senang tapi saya harap mereka akan berusaha 
bersungguh-sungguh supaya apa yang mereka rancang akan membawa 
kejayaan," katanya kepada media selepas perasmian Persidangan Kebangsaan
 Ekonomi dan Kewangan Islam 2015 di Institut Latihan Islam Malaysia di 
Bangi, Rabu.
Dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib 
Tun Razak pada Selasa, Najib menamakan Ahmad Zahid sebagai timbalannya 
bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan dalam barisan
 kabinetnya.
Rombakan kabinet itu melibatkan pelantikan tujuh menteri baharu, lima 
menteri digugurkan dan beberapa pertukaran portfolio.Diminta mengulas 
pengaturan masa rombakan tersebut yang dilakukan ketika siasatan 
terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sedang berjalan, Abdullah 
berkata andaian tersebut tidak boleh dibuat sebegitu mudah.
"Beri mereka (barisan Kabinet) peluang untuk menyelesaikan. Kalau tak boleh juga...itu susahlah tu," katanya.
Mengulas pengguguran Muhyiddin daripada barisan kabinet, Abdullah 
berkata: "Itu adalah keputusan yang tentu sekali PM sendiri ambil 
tindakan. Tentu ada tindakan yang perlu dilaksanakan beliau sendiri."
Dalam masa sama, Abdullah berkata Ahmad Zahid perlu diberi peluang untuk menggalas tanggungjawabnya.
Ditanya mengenai penamatan perkhidmatan tugas Tan Sri Abdul Gani Patail 
sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 27 Julai, Abdullah berkata: "Itu 
mengejutkan jugalah apa yang berlaku."Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr
 Ali Hamsa dalam satu kenyatan semalam mengumumkan perkhidmatan Abdul 
Gani sebagai Peguam Negara ditamatkan mulai 27 Julai atas sebab-sebab 
kesihatan. 
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment