Thursday, July 30, 2015
Barisan Kabinet Baru Diharap Kembalikan Semula Keyakinan Rakyat..
Pelantikan barisan Kabinet baharu yang dilantik oleh Perdana Menteri, 
Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin diharapkan dapat mengembalikan 
semula keyakinan rakyat dengan membuktikan bahawa amanah yang dipikul 
tidak sesekali diabaikan dan kepentingan rakyat didahulukan.
Pergerakan Pemuda UMNO berkata, mana-mana pihak tidak sepatutnya 
menjadikan alasan untuk mencetuskan perpecahan di dalam parti kerana 
keputusan yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak perlu 
dihormati.
Menurutnya, demi memastikan setiap cabaran menjelang pilihan raya umum 
kelak dapat dihadapi dengan baik, kekuatan seluruh pemimpin dan ahli 
UMNO perlu dipertingkatkan dan diperkukuh.
"Pemuda UMNO Malaysia menghormati kuasa prerogatif Perdana Menteri untuk
 menentukan anggota pentadbiran kerajaan, justeru kami akur dengan 
keputusan tersebut," katanya.
Pada masa sama, Pemuda UMNO berikrar tetap menghormati Timbalan Presiden
 UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. 
Shafie Apdal biarpun kedua-duanya sudah tidak menganggotai Kabinet.
Menyentuh tentang isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), 
Pemuda UMNO meminta agar siasatan terhadap syarikat itu diteruskan untuk
 dilihat kebenaran kerana ia telah menghakis keyakinan rakyat.
"Rakyat perlu kebenaran dalam isu ini melalui proses siasatan yang 
sedang berlangsung oleh pasukan siasatan khas, Jabatan Audit Negara dan 
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), institusi-institusi ini perlu 
diberikan masa dan kebebasan menjalankan tugas tanpa sekatan mahupun 
provokasi."
"Sekarang hanya tinggal kurang tiga tahun sebelum pilihan raya umum akan
 datang. Inilah masa untuk kita bersatu, menggembleng tenaga dan 
menyatukan hati untuk membuktikan bahawa tradisi parti yang membela 
rakyat masih subur dalam kalangan ahli," tambahnya. 
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment