Wednesday, July 29, 2015
Ini Pandangan Pemuda UMNO Malaysia Mengenai Rombakan Kabinet...
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menghormati kuasa Prerogatif Perdana Menteri untuk menentukan anggota pentadbiran kerajaan.
Atas prinsip tersebut, kami akur dan menghormati keputusan Dato' Sri 
Mohd Najib Tun Razak untuk membuat rombakan jemaah menteri semalam. 
Pemuda UMNO berharap dengan rombakan ini, kerajaan dapat diperkukuhkan 
lagi untuk mengembalikan keyakinan rakyat dengan membuktikan bahawa 
amanah yang dipikul tidak sesekali dikompromi dan kepentingan rakyat 
sentiasa didahulukan.
Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan sebagai Timbalan Perdana 
Menteri, Pemuda UMNO tetap menghormati beliau sebagai Timbalan Presiden 
UMNO, begitu juga Datuk Seri Shafie Apdal selaku Naib Presiden UMNO.
Pemuda UMNO berharap rombakan jemaah menteri ini tidak dijadikan 
pencetus oleh mana-mana pihak kepada perpecahan dalam parti. UMNO 
memerlukan seluruh kepimpinan dan keahliannya untuk merapatkan barisan 
bagi menghadapi cabaran pilihan raya umum kelak.
Pemuda UMNO juga berharap bahawa antara isu yang menghakis keyakinan rakyat seperti 1MDB perlu terus disiasat.
Rakyat perlu kebenaran dalam isu ini melalui proses siasatan yang sedang
 berlangsung oleh pasukan siasatan khas, Jabatan Audit Negara dan 
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Institusi-institusi tersebut 
perlu diberikan masa dan kebebasan untuk menjalankan tugas mereka tanpa 
sekatan mahupun provokasi dari mana-mana pihak.
Sekarang hanya tinggal kurang tiga tahun sebelum pilihan raya umum akan 
datang. Inilah masa untuk kita bersatu, menggembelengkan tenaga dan 
menyatukan hati untuk membuktikan bahawa tradisi parti yang membela 
rakyat masih subur di kalangan ahli.
Pepatah Negeri Sembilan ada menyebut, antan samo antan berlago ayam topi
 losung yang konyang. Bersatulah kita mencari kebenaran dan kembalikan 
kekuatan parti tercinta. 
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment