Monday, September 21, 2015
Cayalah KJ Inilah Baru Betul..... Keluar BN Jika Putuskan Hubungan Dengan Najib
Pemuda UMNO menggesa Pemuda MCA Pasir Gudang untuk keluar dari Barisan
Nasional (BN) jika mereka masih berdegil mahu memutuskan hubungan dengan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, kenyataan Ketua Pemuda MCA Pasir
Gudang, Cia Chow Hui yang tidak bersetuju dengan sokongan yang
ditunjukkan Perdana Menteri terhadap Himpunan Rakyat Bersatu baru-baru
ini hanya memburukkan keadaan di sebalik kemerosotan sokongan masyarakat
Cina terhadap BN.
“Pemuda MCA Kebangsaan perlu membuat siasatan mendalam ke atas ketetapan
Pemuda MCA Pasir Gudang seperti yang dinyatakan Chow Hui semalam dan
jika mereka masih mahu memutuskan hubungan dengan Najib, lebih baik
mereka keluar sahaja daripada BN.
“Kerjasama yang terjalin dengan parti komponen tersebut sejak sekian
lama boleh rosak dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab seperti
Pemuda MCA Pasir Gudang,” katanya dalam kenyataan Isnin.
Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin pula
menyifatkan Pemuda MCA tidak mengukur baju di badan sendiri sebelum
mempertikai pendirian Perdana Menteri memandangkan kegagalan mereka
meraih sokongan masyarakat Cina kepada BN.
“Kenyataan Chow Hui itu bersifat populis apabila mempersoalkan pendirian
Perdana Menteri terhadap perhimpunan baju merah sedangkan yang
sepatutnya dipersoalkan ialah pendirian Ketua Pemuda MCA, Senator Ching
Sin Woon yang secara terbuka menggalakkan ahlinya menyertai perhimpunan
Bersih 4 yang lalu.
“Dalam hal ini, Pemuda Kedah tidak teragak-agak untuk memutuskan
hubungan dengan Pemuda MCA sekiranya mereka tidak tampil
bertanggungjawab atas kenyataan berunsur penghinaan yang dibuat ahli
mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd. Shahar Abdullah dalam
kenyataannya menggesa Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai supaya
tidak terus mengambil pendekatan berkecuali dan segera mengambil
tindakan disiplin ke atas Chow Hui yang dilihat tidak matang, selain
cenderung dan senada dengan DAP.
“Kami mahu Tiong Lai tidak terus berdiam diri dan berani mengambil
tindakan disiplin ke atas Chow Hui yang jelas akan menjahanamkan BN
melalui gerak tari kelompok yang digelar ‘musang berbulu ayam’ ini.
“Berikutan kenyataan dua pemimpin Pemuda MCA itu yang dilihat cenderung
menyokong DAP, ia telah menimbulkan persoalan adakah mereka ini sengaja
menyertai parti komponen semata-mata mahu merosakkan parti,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment