Monday, September 21, 2015
Guan Eng Berdepan Kecaman Selepas Arah Bunuh Anjing
Sekumpulan aktivis haiwan bebas dan badan bukan kerajaan (NGO) menggesa
Ketua Menteri Lim Guan Eng menghentikan segera aktiviti membunuh anjing
yang dijalankan sekarang di negeri ini.
Seorang anggota jawatankuasa gabungan NGO 'Stop Killing, Start
Vaccinating', Joel Gurprit Singh berkata membunuh anjing bukan
penyelesaian kekal terhadap isu wabak penyakit anjing gila.
Beliau berkata Lim tidak mengamalkan dasar telus ketika menangani wabak
anjing gila dan NGO tidak dirundingi sebelum negeri ini memutuskan untuk
membunuh anjing-anjing terbiar dalam usaha menyekat penyakit itu dari
merebak.
Bercakap kepada pemberita semasa tunjuk perasaan menentang langkah
kerajaan itu, Singh berkata kerajaan negeri perlu menyuntik vaksin bukan
membunuh anjing.
"Jika vaksin kekurangan, sebuah NGO global menawarkan untuk menyuntik
vaksin pada anjing-anjing terbiar di Pulau Pinang," katanya.
Lebih 60 wakil dari pelbagai NGO berhimpun di Sudut Penceramah di Padang
Kota Lama dan membawa kad board "Stop killing" (Hentikan Pembunuhan).
Bagaimanapun, Lim Shiang Mey, seorang wakil daripada 'Penang Hope Of
Strays", berkata sekumpulan NGO telah berbincang dengan Lim dan Jabatan
Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Shiang Mey berkata Lim memberitahu kumpulan itu bahawa keputusan
membunuh anjing-anjing itu dibuat oleh jabatan kesihatan persekutuan dan
DVS dan bukan kerajaan negeri.
"Lim memberitahu kami beliau akan menghentikan aktiviti pembunuhan
anjing dengan syarat DVS menyatakan ada cara lain lebih baik bagi
menyekat wabak anjing gila," kata Shiang Mey.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment