Tuesday, September 22, 2015
Khalid Ibrahim Sedia Lafaz Bai'ah Jika Sertai Pas
SHAH ALAM : Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim bersedia melafazkan bai'ah jika akhirnya beliau memilih untuk
menyertai Pas seperti pemimpin-pemimpin parti itu.
Menurutnya, beliau perlu mengikut sistem sedia ada dalam mana-mana parti yang dipilihnya nanti.
"Jika saya putuskan untuk masuk satu satu parti, saya kena ikutlah (sistem parti itu).
"Jika saya tak nak ikut, saya tak perlulah masuk ke parti itu," katanya memetik laporan Sinar Online.
Sebelum ini, Abdul Khalid dilaporkan telah dipelawa untuk menyertai Pas,
namun, beliau memberitahu belum menimbangkan tawaran itu kerana masih
ada perkara untuk diselesaikan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Sementara itu, ketika forum tersebut berlangsung, Abdul Khalid
menegaskan beliau masih belum menjadi ahli Pas walaupun sering mengikuti
program bersama parti itu.
"Saya sudah bersama Pas tapi belum menjadi ahli lagi. Saya ada masalah
integriti yang perlu diselesaikan sebelum membuat keputusan.
"Sebelum ini integriti saya dipersoal, dakwaan di mahkamah sampai lebih
kurang 89 muka surat. Tapi PKR sudah minta maaf," katanya.
Mengulas lanjut, beliau sempat berseloroh memberitahu ada rakannya yang
menyarankan agar meneruskan kes saman tersebut dan pergi melancong
dengan wang saman itu.
"Tapi saya tak buatlah. Itu bukan perjuangan saya. Tindakan PKR
singkirkan saya, saya anggap tidak adil, jadi, saya kena pertahankan.
"Saya minta ROS adili perkara ini. Jika saya masuk ke parti lain sebelum
isu ini diselesaikan, sudah tentu saya tak boleh pertikaian perkara
ini. Jadi, saya kena tunggu," katanya.
Malah katanya, soalan sama akan terus ditanya rakan-rakan dan pihak
media selagi beliau masih ahli Parlimen Bebas, namun, katanya jawapan
yang diberi tetap sama.
Abdul Khalid dipecat daripada PKR selepas beliau enggan melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor seperti diputuskan oleh parti.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment