Monday, September 21, 2015
Hamas Minta Malaysia Jadi 'Kubu Utama' Lindungi Masjid Al-Aqsa
Hamas meminta Malaysia untuk memainkan peranan utama dalam melindungi Masjid Al-Aqsa daripada pencerobohan rejim Zionis.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Mashal
dalam perbualan telefonnya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak, hari ini.
Dalam perbualan telefon itu, Mashal memaklumkan kepada Najib mengenai
situasi terkini di Tebing Barat, khususnya ketegangan yang berlaku di
Masjid Al-Aqsa berikutan pencerobohan dan pencabulan yang dilakukan
tentera Israel.
"Saya menjelaskan kepada Najib mengenai pentingnya Malaysia untuk memainkan peranan utama dalam melindungi Masjid Al-Aqsa.
"Saya juga menegaskan, betapa pentingnya Malaysia menggerakkan komuniti
antarabangsa untuk menyekat rancangan Israel untuk menceroboh dan
menduduki Baitulmuqaddis amnya, serta Masjid Al-Aqsa, khasnya," katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mashal, Najib telah memaklumkan bahawa Malaysia mengutuk
sekeras-kerasnya keganasan dan pencerobohan tentera Israel ke atas
Masjid Al-Aqsa sehingga menyaksikan Masjid Al-Aqsa terpisah secara
sementara mengikut kaedah yang ditetapkan oleh rejim zionis itu.
Katanya, Najib menegaskan pendirian Malaysia yang akan menyokong penuh
penduduk Palestin dalam mendepani keganasan dan pencabulan yang
dilakukan tentera zionis itu.
Mashal berkata, di akhir perbualan itu, beliau mengucapkan terima kasih
kepada Najib, kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan padu yang
diberikan kepada penduduk Palestin dalam berdepan keganasan dilakukan
Israel.
Keadaan di seluruh Tebing Barat semakin tegang sejak beberapa hari lalu
yang menyaksikan beberapa pertempuran antara penduduk Palestin dengan
pasukan keselamatan Israel, selepas pergerakan Hamas melancarkan 'hari
kemarahan' ekoran ketegangan yang berlaku di Masjid Al-Aqsa.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment