Monday, September 21, 2015
Khairuddin Abu Hassaan Sabotaj Negara - KPN
KUALA LUMPUR : Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menganggap tindakan Datuk
Seri Khairuddin Abu Hassan menggunakan saluran perundangan asing untuk
mengenakan tekanan antarabangsa terhadap Malaysia berhubung isu
1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai mensabotaj negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan bekas naib
ketua Umno bahagian Batu Kawan itu jelas merupakan langkah yang
bertujuan mencabar sistem perundangan Malaysia.
"(Ia turut) mencalar kredibiliti agensi penguatkuasa tempatan dan
mengundang campur tangan asing dalam sistem demokrasi negara ini.
"Tindakan beliau ini merupakan satu bentuk sabotaj yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan kedaulatan negara ini.
"Polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan maklumat
yang disalurkan oleh Khairuddin kepada agensi-agensi asing berkenaan,
adalah palsu," katanya dalam satu kenyataan media di sini, lewat malam
Ahad.
Khalid membuat kenyataan itu sebagai menjawab dakwaan Anggota Parlimen
Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini, kononnya PDRM dipergunakan oleh
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengelak pembongkaran
kes 1MDB.
Khalid berkata Khairuddin, yang telah membuat laporan polis mengenai isu
1MDB, seharusnya memberi ruang dan peluang kepada agensi-agensi
penguatkuasa tempatan untuk menjalankan siasatan.
"Namun, beliau (Khairuddin) tetap memilih untuk menggunakan saluran
perundangan asing khususnya di Britain, Hong Kong, Perancis dan Amerika
Syarikat dengan tujuan mengenakan tekanan antarabangsa ke atas
Malaysia," katanya.
Khairuddin kini ditahan reman enam hari mulai Sabtu di bawah Seksyen
124C Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan melakukan aktiviti yang
menjejaskan demokrasi berparlimen.
Media tempatan melaporkan Khairuddin didakwa sedang merancang untuk
meminta Amerika Syarikat campur tangan dalam hal ehwal Malaysia.
Beliau ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas dari Jabatan Siasatan
Jenayah (JSJ) Bukit Aman di kediamannya di Mont Kiara di sini pada
Jumaat, yang dipercayai berkaitan dengan siasatan membabitkan 1MDB.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment