Monday, January 04, 2016
Matlamat Bagi 2016 Untuk Kekal Selamat, Makmur Dan Sama Rata – Najib
KUALA LUMPUR : Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk
mengambil keputusan yang tegas, perlu dan tepat bagi mencapai matlamat
Malaysia untuk kekal sebagai sebuah masyarakat yang lebih selamat,
makmur dan sama rata pada tahun 2016, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana
Menteri berkata keputusan seperti itu akan dibuat sungguhpun ia tidak
popular dalam usaha melindungi rakyat daripada kesengsaraan akibat
keganasan.
“Untuk melindungi perpaduan yang amat berharga, yang melindungi
kepelbagaian kita yang unik dan untuk memelihara masa depan cerah yang
merupakan hak lahir bagi setiap rakyat Malaysia.
“Saya boleh memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa berusaha
dengan segala kekuatan yang ada,” kata Najib dalam perutusan tahun
baharu beliau hari ini.
Beliau turut mengingatkan semua rakyat Malaysia agar tidak mengambil
mudah soal keselamatan dan memandang rendah terhadap bahaya yang jelas
serta wujud yang dihadapi dari luar dan dalam negara.
Malaysia berdepan pelbagai ancaman yang tidak mengenal sempadan,
daripada keganasan hinggalah kepada pencerobohan pihak asing ke dalam
wilayahnya yang berdaulat, misalnya insiden Lahad Datu pada 2013, kata
Najib.
Beliau menarik perhatian bahawa 150 rakyat Malaysia ditahan berhubung
aktiviti berkaitan keganasan sejak penubuhan kumpulan dikenali sebagai
Islamic State (Daesh) dan kemungkinan berlaku serangan di Kuala Lumpur,
yang telahpun digagalkan.
Justeru, perdana menteri berkata ancaman itu perlu dipandang serius,
dan sebab itulah kerajaan meluluskan Akta Pencegahan Keganasan pada awal
tahun ini dan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara awal bulan
ini.
Najib berkata kedua-dua undang-undang itu akan membolehkan pasukan
keselamatan mengawal dan menguruskan ancaman serta bertindak sejak
peringkat awal, sebelum keadaan semakin buruk.
“Kami tidak akan menunggu sehingga tindakan kejam pengganas berlaku
sebelum melaksanakan dengan aktif segala langkah perlu untuk mengelak
kemungkinannya,” katanya.
Najib turut menegaskan bahawa perjuangan menentang radikalisme dan
mereka yang mencemarkan kesucian Islam melalui tindakan keganasan mesti
turut diperangi di Malaysia, bukan di Timur Tengah sahaja.
Menyifatkan 2015 sebagai tahun yang penuh cabaran bagi Malaysia dan
negara lain, beliau berkata dari sudut ekonomi, Malaysia bukanlah
satu-satunya negara yang terjejas ekoran kejatuhan harga minyak.
“Bagaimanapun, sebagai sebuah daripada beberapa negara pengeksport
penuh minyak di Asia Timur, ia menjejaskan kewangan kita lebih teruk
daripada negara lain,” katanya, dan menambah, kemelesetan ekonomi di
China turut memberi kesan kepada ekonomi tempatan.
Beliau berkata walaupun di sebalik cabaran ekonomi global yang
melanda, Bank Dunia memuji Malaysia kerana memastikan dasar
makroekonominya terus kukuh.
“Pada 2016, kita menjangka ekonomi kita akan berkembang antara empat
dan lima peratus, dipacu oleh pelaburan swasta dan penggunaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, perdana menteri menegaskan bahawa kerajaan
tidak pernah mengambil jalan mudah dan popular dalam mendepani cabaran
seperti yang dibuktikan menerusi pelaksanaan GST.
“Cukai baharu jarang diterima baik. Namun, di sebalik kejatuhan harga
minyak, jika tidak memperoleh hasil daripada GST, defisit kewangan kita
akan meningkat daripada 3.1 peratus kepada 4.8 peratus pada 2016,”
katanya.
Ini, kata beliau, akan mendorong penurunan dalam penarafan kredit
Malaysia yang antara lain akan membawa kepada kadar faedah lebih tinggi,
penurunan dalam pelaburan dan pengurangan peluang pekerjaan.
“Kesejahteraan dan kemajuan rakyat sentiasa berada dalam fikiran kami apabila kami menggubal dasar ini,” katanya.
Beliau berkata meningkatkan kebingkasan ekonomi, mengurus kesan
daripada kerentanan luar dan melindungi kepentingan rakyat akan menjadi
keutamaan kerajaan pada 2016.
Najib berkata kerajaan akan terus menyemak dan memantau rapi semua
dasar serta program bagi memastikan ia membawa manfaat ketara kepada
rakyat.
“Keazaman saya ialah melihat tiada rakyat Malaysia akan tersisih
apabila negara kita terus melakar kemajuan. Kami mempunyai perancangan,
ia sedang dilaksanakan dan membuahkan hasil,” katanya.
Mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Najib berkata
tindakan sesetengah pihak yang terlebih dahulu membuat kesimpulan
tentang isu itu, berdasarkan fitnah politik, ketirisan dan maklumat yang
tidak lengkap, member mudarat kepada ekonomi Malaysia dan mencemarkan
nama baiknya di luar negara.
Bagaimanapun, beliau berkata langkah yang diambil syarikat itu yang
pada hari ini memeterai perjanjian bagi penjualan 60 peratus ekuiti
dalam Bandar Malaysia kepada sebuah konsortium tempatan dan
antarabangsa, merupakan langkah terakhir dalam menyelesaikan penyusunan
semula program 1MDB.
Perdana menteri berkata oleh itu, jelas bahawa cabaran besar yang
dihadapi 1MDB sebelum ini sudah berlalu, sambil menarik perhatian bahawa
perjanjian itu akan menyaksikan hutang syarikat itu akan berkurangan
kira-kira RM40.4 bilion yang mewakili sebahagian besar daripada hutang
1MDB.
“Sekarang adalah masa untuk kita menunggu hasil siasatan terhadap
syarikat itu; mengambil pengajaran yang perlu daripadanya; dan sama-sama
melangkah ke hadapan secara konstruktif,” katanya.
Perutusan tahun baharu itu turut menegaskan peri pentingnya perpaduan
dan perdana menteri menggesa rakyat agar sentiasa saling menghormati
serta tidak sesekali mencetuskan ketegangan.
Beliau turut menggesa rakyat untuk mengambil bahagian dan menyokong
penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik
sebagai satu pembaharuan untuk mengukuhkan integriti dan ketelusan
tonggak demokrasi di negara ini.
Dalam perkembangan lain, Najib berkata 2015 melakar satu lagi sejarah
bagi Malaysia selaku pengerusi ASEAN tahun ini, dengan penubuhan
Komuniti Ekonomi ASEAN yang menandakan bermulanya era baharu bagi
penduduk rantau ini yang berjumlah 625 juta orang.
“Kita menjadi tuan rumah kepada pemimpin dunia di Kuala Lumpur
apabila ASEAN dan Amerika Syarikat mengumumkan pembentukan satu
perkongsian strategik baharu, manakala hubungan kita dengan China pula
menjadi semakin kukuh,” katanya.
Najib berkata sebagai sebuah negara yang stabil dan toleran,
kepimpinan Malaysia mendapat pujian sebagai pemain peranan yang
bertanggungjawab di pentas global dan rakan penting dalam usaha
memerangi fahaman pelampau.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment