Tuesday, February 23, 2016
Dua Beranak Itu Lebih Sayangkan DAP Dari Sayangkan UMNO?
EDITOR MENULIS...
22 FEBRUARI 2016
Sehingga kini, saya difahamkan bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad masih lagi tegar dengan ‘usaha murni’ beliau untuk
menjatuhkan Presiden UMNO, BN merangkap Perdana Menteri Malaysia, Dato’
Seri Najib Tun Abdul Razak.
Biar pun Allahyarham bapa Najib menatang Mahathir bagaikan minyak
yang penuh hingga berjaya ke puncak karier sebagai Perdana Menteri, anak
Mahathir yang bernama Mukhriz seolah tidak malu, tidak mengenang budi
senada dengan bapanya menyerang Najib.
Kedua beranak itu begitu giat bercakap mengenai RM2.6 bilion.
Mahathir bercakap di media pembangkang, anaknya pula dikhabarnya sanggup
keliling kampung memburukkan Najib di mata rakyat dengan persepsi
negatif. Itulah cara dua beranak itu ‘membalas budi’…
Namun pernahkah kita mendengar kedua beranak itu menyerang DAP dengan
dakwaan dana dari Israel yang berjumlah RM1.2 bilion itu? Penulis tidak
pasti. Namun setahu saya, tidak pernah mereka sebut pun. Tidak
tahulah sekiranya saya terlepas pandang.
Walau bagaimanapun, sekiranya benar Mahathir dan anaknya itu tidak
pernah bercakap soal dana RM1.2 bilion yang dikatakan bersumber dari
Israel itu, maka pada pandangan penulis, mereka anak beranak mungkin
lebih ‘sayang’ pada DAP berbanding UMNO atau BN.
Mungkin ada yang menyatakan ‘sayang anak ditangan-tangankan’.
Masalahnya, ini bukan lagi kes ‘tangan-tangankan’. Ini namanya sudah
masuk kategori ‘nak cekik sampai mati’.
Menjatuhkan Najib selaku
Presiden BN melemahkan kerajaan dan parti BN sendiri. Mungkin mereka
akan puas hati jika BN jadi pembangkang agaknya?
Jika BN jadi pembangkang, maka sudah tentulah DAP yang akan menjadi
‘raja’ mentadbir kerajaan Malaysia. Ketika itu, pada jangkaan saya,
usahkan PAS, PKR atau Amanah pun sudah tidak dipandang DAP. Lihat saja
bagaimana cara Guan Eng tamatkan khidmat dua Adun PKR. Ada dia rujuk
pada Anwar atau Wan Azizah terlebih dahulu?
Pada pemerhatian saya, setiap parti politik seboleh-bolehnya akan
melindungi dan merahsiakan sumber dana parti. DAP sebagai contoh,
walaupun pernah Najib mencabar agar semua parti mendedahkan sumber dana
politik, mereka awal-awal lagi sudah membantah dan menolak.
Tapi lain pula halnya dengan dua beranak itu. Lebih banyak terdedah
rahsia UMNO, lagilah mereka seronok. Walau sudah disiasat dan jawapan
benar telah diberikan, mereka tetap tidak puas hati. Itu menunjukkan
mereka ‘sayangkan’ UMNO?
Pada pandangan saya, Mahathir dan anaknya lebih sayangkan DAP.
Walau bekas pegawai khas Guan Eng sendiri yang mendedahkan rahsia DAP,
mereka sedikit pun tidak menyentuh soal itu. Mungkin jika Najib dapat
dana dari Israel maka barulah mereka akan diamkan diri tidak mempersoal
apa-apa?
Saya berpandangan bahawa tindakan memecat Mahathir atau anaknya
sekalipun, ia tidak akan memberi apa-apa makna. Biarlah pejuang parti
melihat perangai sebenar anak beranak itu dan nilai sendiri tentang
kewajaran tindakan mereka. Kononnya mahu ‘bersihkan parti’, padahal ‘ada
udang di sebalik maggi’?
Biarlah mereka bersandiwara. Biarlah mereka bertanya itu dan ini.
Kita pun tahu apa agenda sebenar mereka berdua dengan seorang yang di
Johor dan seorang lagi yang di Sabah itu, bukan? Mungkin pada pemilihan
agung UMNO nanti akan lebih terserlah ‘warna sebenar’ mereka.
Namun pada jiwa saya, taat dan setia hanyalah pada parti.
Sekiranya seorang individu dipilih sebagai ketua dan diberi mandat
majoriti untuk mengetuai parti, maka saya akur dan patuh padanya. Itu
resmi organisasi, politik dan pentadbiran. Itu asas paling pokok.
Jadi, jika mahu saya menghormati pendirian dua beranak tersebut dengan
konco-konconya, maka hormatilah pendirian penulis. Jika dulu penulis
pernah taat pada Mahathir, maka tidak salah jika saya tumpahkan taat
setia pada Najib pula.
Jika Mukhriz naik jadi Presiden nanti, maka kepadanyalah saya akur
dan patuh selagi tidak bersalahan dengan syarak, salahkah? Jika mufti
dan ulama pun suruh taat pada pemimpin ketika membentang resolusi
konvensyen ‘fiqh mentaati pemimpin’, siapalah saya untuk menafikan
seruan mereka yang lebih arif tentang agama itu? Fikir-fikirkanlah…
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri Bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment