Tuesday, February 23, 2016
SKMM Terima 34 Aduan Mengenai Penyalahgunaan Media Sosial – Jailani
ALOR GAJAH : Sebanyak 34 aduan diterima
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari tahun 2015
sehingga 4 Feb lepas di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia
1998 mengenai penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari
berkata daripada jumlah itu sebanyak 18 kes telah didakwa manakala 12
kes masih dalam siasatan.
“Apa yang penting sekarang ini, kita teruskan sesi kesedaran untuk
memperingatkan masyarakat di luar sana bahawa kita mengakses internet
untuk dapatkan maklumat dan pada masa sama kita harus berhati-hati menggunakan kaedah internet tersebut.
Jadi konsep kendiri penting dan ia harus bermula dari rumah, sebagai
ibu bapa kita harus mendisiplinkan mereka dan sebagai cikgu di luar sana
harus memantau para murid,” katanya pada sidang akhbar selepas
merasmikan Program Wacana Media Sosial: Viral16 di Dewan Taming Sari,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Alor Gajah, Lendu, di sini hari
ini.
Turut hadir Exco Komunikasi dan Koperasi, Datuk Latiff Tamby Chik;
Rektor UiTM Melaka, Prof Madya Dr Mohd Adnan Hashim; Pengerusi Forum
Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Megat Ishak
Ma’amunor.
Di bawah seksyen itu, apabila seseorang disabitkan kesalahan, dia
boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun
atau kedua-duanya.
Dalam perkembangan lain, kementerian bercadang mengkaji keperluan
mendaftarkan semua portal berita dalam talian bagi mengekang penyebaran maklumat palsu atau berita tidak sahih melalui internet.
Beliau berkata setakat ini tiada akta yang diwujudkan berkaitan keperluan mendaftarkan portal dalam talian di negara ini.
“Sekarang ini kebanyakan portal berita dalam talian sering
menimbulkan isu atau mengubah fakta demi menghasilkan berita sensasi
yang digemari para pembaca,” katanya.
“Jadi jika ada pendaftaran seperti ini, maka isu-isu yang sering
diperkatakan dan tidak jelas kesahihannya mungkin mereka akan lebih berhati-hati,” kata Jailani.
Terdahulu Mohd Adnan berkata program Viral16 yang pertama kali
dianjurkan itu bertujuan meneliti isu dihadapi pengguna media sosial
selain meningkatkan pemahaman dalam fenomena viral di negara ini.
Beliau berkata melalui program itu, ia dapat membantu mewujudkan
platform bagi perbincangan dan perkongsian idea tentang isu viral yang
sebahagian besarnya melibatkan golongan belia sebagai kumpulan
demografik pengguna terbesar media sosial.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment