Tuesday, February 23, 2016

Menteri Dedah Laporan Tidak Bertanggungjawab Wall Street Journal

KUALA LUMPUR : Berikut ialah kenyataan yang dikeluarkan hari ini oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengenai apa yang beliau sifatkan sebagai kewartawanan tidak bertanggungjawab oleh Wall Street Journal:

Petikan:

1. Serangan berterusan The Wall Street Journal (WSJ) ke atas Malaysia dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) adalah berdasarkan dakwaan yang tidak berasas dan sumber tanpa nama yang mungkin tidak langsung wujud, merupakan contoh klasik kewartawanan tidak bertanggungawab yang ekstrem. Ia menjadi semakin jelas bahawa WSJ telah membenarkan dirinya untuk digunakan sebagai saluran bagi kempen Anti-Najib.

2. Artikel mutakhir yang membangkitkan dakwaan lama mengenai siastan Switzerland ke atas kononnya syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB, tetapi gagal untuk menyebut fakta bahawa Peguam Negara Switzerland telah menjelaskan bahawa Perdana Menteri tidak terlibat langsung.
SALLEH-SAID-KERUAK 
3. Mereka mendakwa kononnya “Seorang pegawai Saudi berkata kementerian kewangan dan kementerian luar negara itu tidak tahu menahu mengenai sumbangan berkenaan dan pemindahan wang ke dalam akaun bank peribadi seorang pemimpin asing tidak pernah berlaku sebelum ini” – langsung tidak mempedulikan hakikat bahawa Menteri Luar Saudi telah menyatakan yang sumbangan itu memang datang dari negaranya!

4. Kenapa WSJ tidak menghiraukan butiran penting seperti ini, yang amat mustahak terhadap mana-mana laporan tidak berat sebelah mengenai berita ini? Sebab mereka tidak berminat untuk menjadi tidak berat sebelah, apatah lagi untuk mematuhi etika dalam kewartawanan. Mereka amat komited – sama ada untuk ditipu atau kerana mahu mengikut agenda mereka sendiri – bagi memburuk-burukkan Malaysia dan kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

5. Dan WSJ bergantung kepada siapa sebenarnya untuk mendapatkan maklumat mereka? Mereka mendakwa kononnya mendapat tahu daripada “seorang menteri kabinet,” “seorang pegawai Saudi” dan versi ekstrem laporan Ketua Audit Negara “tahun lepas” yang mereka dakwa dibocorkan kepada mereka. Di mana bukti semua ini? Bagaimana untuk kita tahu yang orang berkenaan wujud? Bagaimana kita tahu bahawa laporan itu tulen dan bukan palsu?

6. Berikut adalah apa yang dikatakan oleh Margaret Sullivan, editor New York Times yang bertanggungjawab mengenai standard: “Tidak menamakan sumber merupakan pilihan terakhir. Editor mempunyai peranan di sini…dalam memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan bahan daripada sumber-sumber yang tidak dikenali, terutama yang menggunakan petikan, bagi disiarkan. Pembaca berhak untuk membantah apabila mereka melihat sumber yang tidak dinamakan yang tidak sepatutnya diterbitkan.”

7. Selain daripada Tony Pua daripada DAP, semua orang yang dipetik dalam artikel WSJ itu tidak dinamakan. Menyebut suatu sumber tanpa nama merupakan etika kewartawanan paling teruk. Jadi mengapa editor-editor WSJ membenarkan perkara ini? Tiada apa yang berlaku secara kebetulan pada akhbar seperti WSJ.

8. Rakyat Malaysia tidak harus dikelirukan oleh propaganda, pembohongan dan penyamaran jijik sebagai berita.

9. Cerita sebenar mengenai Malaysia adalah berbeza – kedudukan ekonomi baik, walaupun dalam keadaan ekonomi global tidak menentu. Perdana menteri mempunyai perancangan, dan ia berjalan dengan baik. Sebagai contoh, Tabung Kewangan Antarabangsa baru-baru ini memuji kerajaan kerana menjaga keselamatan negara dengan mengekalkan kestabilan, dan mengatakan bahawa “ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi yang baik “. Dan baru semalam Fitch mengesahkan Malaysia berada pada tahap ‘A-‘ dengan prospek stabil

10. Mengapa perkara ini tidak disebut dalam artikel terbaru WSJ? Sebenarnya ia tidak begitu menyenangkan bagi WSJ. Agenda anti-Malaysia mereka menjadi lebih jelas setiap hari.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment