Tuesday, February 23, 2016
40 Tahun Di Arena Politik – Najib Dari Kaca Mata Sahabat
KUALA LUMPUR : Penyabar, tenang, bertanggungjawab dan
prihatin dengan mementingkan dasar-dasar yang membawa kepada kepentingan
rakyat adalah antara sifat-sifat yang wujud di dalam diri Datuk Seri
Mohd Najib Tun Abdul Razak dari kaca mata beberapa sahabat beliau.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Haji Ahmad Ismail,
Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak adalah seorang yang cukup penyabar
dan tenang.
Sebagai seorang yang telah lama kenal rapat dengan Perdana Menteri
sejak menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia lebih 30 tahun dahulu beliau
amat memahami karektor Najib Razak yang amat tenang apabila menghadapi
apa sahaja situasi dan keadaan, katanya lagi.
“Datuk
Seri Najib yang kita kenal, kenal beliau seorang manusia yang cukup
penyabar, tidak reti marah, dan cuma kami yang rapat-rapat faham bila
dia marah, kadang-kadang kalau apa yang tak kena pun dia diam begitu
sahaja, itu ‘style’ dia, tapi kami ni yang kawan lama dah kenal dah,
kalau tengok pipi merah, telinga merah adalah tak kena tu, kami senyap
sekejap cari benda lain kita bawa topik lain baru tengok dia tenang
balik, tapi dari segi nak marah orang memang dia payah.
“Kita tengok lagi satu sikap dia dengan kawan dia, kat mana dia jumpa
pun dia mesti datang salam, dia tegur kita dan ‘the beauty of Najib’
dia ingat nama-nama kita walaupun dah lama, masih ingat,” katanya ketika
ditemui semasa majlis jalinan silaturrahim sahabat Datuk Seri Mohd
Najib Tun Abdul Razak, di sini hari ini.
Di samping itu, Ahmad berkata peranan sahabat-sahabat yang dikenali
Kelab N87 juga untuk membantu Presiden parti memperkukuhkan UMNO.
Manakala bagi Datuk Mat Isa Ismail dari Bukit Gantang, bekas
Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Malaysia semasa Najib Razak menjadi Ketua
Pemuda UMNO Malaysia pada 1987 berkata, selain seorang yang tenang
menghadapi cabaran dan dugaan, Najib juga seorang yang amat baik memberi
kepercayaan penuh kepada pegawai-pegawainya.
“Yang pertama, dia ni seorang yang baik, orang yang sangat baik, dan
dia penuh kepercayaan setelah dia lantik kita dia penuh percaya kepada
kita maka kita kena pandailah jaga dia, apa yang dia suruh kita kena
buat, apa yang dilarang jangan dibuat sebab dia nak tengok kita berjaya
dan dia juga berjaya dan Alhamdulillah semasa kerja dengan dia tiada
masalah.
“Karakter dia tenang, orang yang paling tenang, tengok sekarang ini
dengan isu apa pun dia tenang, ini seorang pemimpin, seorang pemimpin
yang kita hendak tenang menghadapi cabaran. Berapa banyak cabaran yang
dia hadapi dari seorang Ketua Pemuda hingga menjadi Perdana Menteri
cabaran berbagai-bagai tapi dia mana ada gelisah,” kata bekas Speaker
Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu.
Begitu juga menurut Datuk Naim Mohamad, Naib Presiden Persatuan
Pedagang dan Pengusaha Melayu (PERDASAMA) berkata, Presiden UMNO itu
seorang yang sangat teliti dan tidak mengamalkan budaya cantas-mencantas
di dalam mendapatkan jawatan, baik di dalam politik mahupun kerajaan.
“Datuk Najib dari dulu lagi dia seorang yang sangat penyabar dan dia
tajam pemikirannya dia tahu kalau kita jumpa dia bincang sebelum cakap
dia dah tahu ke mana kita hendak pergi dan dia tidak pernah marah orang,
dia faham dan dia selalu mencari penyelesaian secara dia sendiri dan
dia tak pernah hendak rampas jawatan yang kita tengok dia naik ikut
tangga.
“Dia bertanggungjawab dan prihatin dan walaupun dia datang dari satu
keluarga bangsawan tetapi dia berjiwa rakyat, keutamaan rakyat menjadi
keutamaan beliau itu yang penting dan ia bukan satu hipokrasi ianya asli
dan memang terpahat dalam diri dia,” kata bekas Ketua Pemuda UMNO
Bahagian Kota Melaka itu.
Sebagai contoh dasar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan
pelbagai lagi dasar yang diperkenalkan, bukti Perdana Menteri memikirkan
kebajikan golongan sasaran dan bukan kerana undi sebagaimana yang
ditimbulkan oleh pihak-pihak yang tidak bertangggungjawab.
“Datuk Najib telah banyak buat benda baik, rekod dia dari dahulu
sejak menjadi Menteri Besar Pahang hingga pegang beberapa jawatan di
kabinet dan kini Perdana Menteri, dasar-dasar yang diperkenalkan untuk
kepentingan rakyat, orang yang tak setuju dengan UMNO dan Barisan
Nasional (BN), akan serang dia kerana dia sebagai pemimpin utama parti,”
kata Naim lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment