Wednesday, February 24, 2016
Bina Ketahanan Dalaman Kuat Berdepan Arus Politik Kotor Pembangkang
KUALA LUMPUR : Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar
Musa berkata, ahli-ahli UMNO secara keseluruhannya perlu
mempertingkatkan pengetahuan dan ilmu dalam menghadapi serangan-serangan
politik pembangkang yang gemar memanipulasikan fakta untuk mengelirukan
rakyat, malah termasuk ahli-ahli UMNO itu sendiri.
Beliau memberikan satu analogi di mana dalam suatu keadaan negara
dilanda wabak penyakit, pendekatan membunuh kuman untuk menghilangkan
penyakit itu bukanlah merupakan satu-satu jalan untuk menghilangkan
penyakit atau wabak merbahaya tersebut.
“Boleh atau tidak kita cuba menyelesaikan masalah wabak penyakit
dengan membunuh kuman-kuman wabak tersebut? Saya rasa manusia akan jadi
letih kalau kita guna pendekatan cari mana kuman-kuman tersebut untuk
dibunuh, sebab ianya ada di merata-rata tempat.
“Sebenarnya
pendekatan cuba membunuh kuman itu hanya akan meletihkan dan tidak
menyelesaikan masalah. Tujuan kita membunuh kuman adalah untuk
menghindari penyakit. Tapi ada satu cara lain yang kita buat iaitu
meningkatkan antibodi kita.
“Sebab itu saya kata, dalam keadaan politik hari ini, kita tahu
bahawanya kita pasti akan diserang sebab kita kerajaan. Saya umpamakan
mereka yang menyerang itu seperti kuman. Tak mungkin kita boleh matikan
sebab kita menggunakan sistem demokrasi yang membenarkan orang lain
mewujudkan parti dan kita juga membenarkan adanya pilihanraya. Jadi
serangan itu akan sentiasa ada,” tegasnya kepada media di sini
hari ini.
Tambah beliau, sekiranya ahli-ahli UMNO seperti yang dilihat hari ini
hanya asyik menjawab serangan pihak pembangkang maka mereka akan merasa
letih.
“Tapi kalau kita membina ketahanan di dalam diri mereka dalam
serangan pihak pembangkang, umpama kita membina antibodi. Contohnya jika
seseorang itu kuat roh dan semangatnya dalam perjuangan UMNO, tiba-tiba
UMNO terpukul dengan satu isu.
“Dan sekiranya isu itu benar sekalipun, dia takkan goyah sebagai
pejuang UMNO. Waktu saya mula-mula masuk UMNO, tiba-tiba UMNO dan
kerajaan mahu meminda perlembagaan dan membuang imuniti Raja-Raja.
Ketika itu saya di Kelantan dan terpaksa berdepan dengan Tengku
Razaleigh yang juga merupakan kerabat di Raja.
“Kalau saya nak main jalan selamat, saya kena menentang kehendak UMNO
dan kerajaan itu. Tapi saya tahu UMNO yang diketuai oleh Tun Mahathir
ketika itu mahu membuat kebaikan dari segi perjuangan parti yang dulu
mengangkat kedudukan Raja. Ini kerana jika Raja selalu bertindak di luar
undang-undang, maka mungkin rakyat akan bangkit dan menentang dan dalam
sejarah telah membuktikan banyak Raja yang digulingkan dari takhta,”
tegasnya.
Bagaimanapun kata beliau lagi, jika tujuan seseorang itu menyertai
UMNO kerana mahukan projek, mahu jadi wakil rakyat dan sebagainya, kalau
tak dapat apa yang mereka mahukan, orang-orang seperti ini akan kecewa
dengan parti.
“Saya pernah berkata dalam satu ucapan saya pada tahun 1993 bahawa
UMNO akan berhadapan masalah bila ahli-ahli UMNO tidak ada tarbiah,
tidak ada penghayatan dalam perjuangan. Ini akan menyebabkan ahli-ahli
berjuang atas dasar kebendaan. Tapi kalau kita berjuang atas wadah UMNO
dengan dasar untuk membela kepentingan, kewujudan dan kelangsungan
bangsa kita dan kita faham akan perjuangan itu, maka tidak akan timbul
masalah.
“Jadi apa yang penting hari ini ialah penghayatan. Penghayatan ini
memerlukan proses tarbiah untuk menjadikan ianya kekuatan dalaman
terhadap ahli-ahli UMNO. Jika kita ada kekuatan dalaman melalui ilmu,
maka tidak akan timbul di kalangan ahli UMNO perasaan menggelabah,
tertekan dan pelbagai perasaan negatif apabila menghadapi serangan
pembangkang,” akhiri beliau.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment