Tuesday, February 23, 2016
UMNO Selangor Mahu Siasatan Dibuat Terhadap Papan Tanda #BebasAnwar
PETALING JAYA : UMNO Selangor telah meminta pihak berkuasa
menyiasat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor kerana
membenarkan papan tanda #BebasAnwar dipamerkan di beberapa kawasan di
negeri itu.
Ketua Penerangan UMNO Selangor Datuk Zein Isma Ismail berkata
kandungan papan tanda yang dipamerkan itu dianggap mencabar keputusan
mahkamah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Semua tahu yang dia (Anwar) ditahan kerana salah lakunya terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan dan bukannya dia tahanan politik.
“Bagaimana
PBT Selangor boleh luluskan? Ini serius dan apa yang lebih teruk papan
tanda itu turut mempamerkan logo PKR,” katanya kepada pemberita
ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, di sini hari
ini.
Katanya, papan tanda dengan gambar bekas ketua pembangkang itu serta
tulisan “Bebas Rakyat, Bebas Anwar” itu dipamerkan di beberapa kawasan
di Selangor antaranya di Ampang Jaya, Kepong dan Rawang.
Zein Isma yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang mahu polis dan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta beberapa agensi lain segera
menyiasat perkara ini.
“Tindakan mereka (kerajaan Selangor) ini tidak boleh diterima, ini
menunjukkan terdapat penggunaan wang rakyat telah disalah guna kerajaan
negeri,” katanya.
Selain itu, Zein Isma berkata tindakan kerajaan negeri yang
menggunakan akhbar Selangorkini untuk tujuan politik juga dianggap tidak
patut.
“Mereka (kerajaan negeri) gunakan akhbar Selangorkini untuk
mempromosikan politik mereka dan kandungan akhbar ini telah disalah
guna.
“Akhbar Selangorkini diletakkan di surau dan masjid khususnya pada
hari Jumaat, jika orang ramai membaca terutama orang muda ia jelas akan
mengelirukan mereka,” katanya.
Terdahulu, beliau bersama-sama lebih 20 anggota UMNO membuat laporan polis di IPD Sungai Buloh berhubung dua isu berkenaan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment