Wednesday, February 24, 2016

Muhyiddin Umpama "Api Dalam Sekam"

http://news.asiaone.com/sites/default/files/original_images/Oct2015/20151025_muhyiddin_reuters.jpg
Tindakan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sering mengeluarkan kenyataan mengkritik kepemimpinan negara dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion umpama api dalam sekam yang secara perlahan-lahan boleh merosakkan parti.

Ketua Penerangan UMNO Wila­yah Persekutuan, Datuk Mustapha Kamal Mohd. Yusoff berkata, Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi peluang kepada Muhyiddin namun beliau tidak menggunakan peluang itu dengan betul.

“Kalau nak cakap apa pun buat secara tertutup bukan secara terbuka, Presiden telah memberi pe­luang kepada beliau, jika beliau masih membawa keburukan kepada parti lebih baik beliau undur diri sahaja.

“Sekarang Muhyiddin seperti api dalam sekam, untuk me­nguatkan parti kita kena bersatu jangan waktu gelora kita ambil kesempatan,”katanya kepada media di sini hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz meminta Muhyiddin berundur daripada jawatannya jika tidak mahu menjalankan tanggungjawab membantu Presiden parti.

Nazri mengulas mengenai ucapan Muhyiddin di Teluk Kemang, Port Dickson, Sabtu lalu yang yang dilaporkan berkata, rakyat tidak diberikan penjelasan yang mendalam mengenai pelbagai isu termasuk isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar berkata, tindakan Muhyiddin itu amat mengecewakan kerana ia seolah-olah memudahkan pakatan pembangkang memperlekehkan UMNO.

“Pakatan pembangkang kini boleh ambil cuti sakit sebab kerja mereka kini dilakukan oleh Timbalan Presiden UMNO.

“Sampai bila perkara ini harus berlarutan, dalam perlembagaan parti Timbalan Presiden perlu membantu Presiden dalam mengurus tadbir parti, jika Timbalan Presiden gagal kita sokong Timbalan Presiden letak jawatan,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Puteri UMNO, Haryaty Hamdzah pula berkata, perbezaan pandangan antara pemimpin merupakan perkara biasa di dalam UMNO, namun ia tidak boleh dilakukan sehingga melampaui batas.

“Berbeza pandangan dalam kepemimpinan UMNO kita sudah biasa melalui proses tersebut tetapi tidak boleh melampau hingga sebabkan ahli keliru.

“Cara pengikut yang baik ialah Timbalan Presiden seharusnya menjadi Timbalan Presiden yang berkesan dan jangan sebabkan perpecahan serta menjadikan ahli berpuak-puak,” jelasnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment