Monday, February 22, 2016

Makin Panassss!!!! Chegubard Dedah 'Bukti' Balak Selangor Diberi Tanpa Tender Terbuka

SEREMBAN : Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard hari ini mengemukakan apa yang disifatkan boleh beliau sebagai bukti bahawa proses pemberian tender projek pembalakan tidak dilakukan menerusi tender terbuka seperti yang didakwa Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.

Dalam sidang medianya, Chegubard tampil dengan dua dokumen yang di dakwa sebagai salinan kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang di katakan  menyebut  bahawa dua kawasan pembalakan diberikan kepada dua syarikat tanpa tender terbuka.

"Dokumen ini berlabel rahsia tertera hak milik kerajaan negeri Selangor dan menyebut dengan jelas bahawa dua kawasan balak tersebut perlu diputuskan untuk diberikan kepada dua syarikat daripada tiga syarikat yang mengajukan profil syarikat.

"Kertas ini telah diajukan ke MMKN yang dipengerusikan oleh Azmin sendiri dan dalam mesyuarat itulah memutuskan kawasan balak tersebut diberikan kepada dua syarikat tanpa tender terbuka," katanya kepada pemberita di pejabatnya, di sini.

Azmin sebelum ini menyangkal pendedahan yang dibuat oleh Chegubard dengan mengatakan dirinya tidak terlibat langsung dalam memutuskan tender dan proses tersebut dilakukan secara tender terbuka.

Malah menteri besar itu turut mencabar Chegubard agar mengemukakan bukti dakwaan tersebut.

Hari ini Chegubard turut membangkitkan persoalan mengenai syarikat yang memperoleh projek balak tersebut, yang dakwanya meragukan.

"Bayangkan sebuah syarikat 'enterprise' yang dimiliki oleh pemuda yang berasal dan beralamat di Johor (bukan sdn bhd), yang mempunyai bidang kerja pelbagai yang langsung tidak ada kena mengena dengan pembalakan mendapat kawasan balak bernilai puluh juta ringgit.

"Dari senarai bidang kerja rencam, jelas corak 'enterprise' seperti ini selalunya diwujudkan hanya untuk memburu kerja 'indent' projek semata-mata.

"Sila Azmin jelaskan bagaimana dalam mesyuarat yang beliau pengerusikan boleh meluluskan syarikat seperti ini untuk projek balak bernilai puluhan juta ringgit," tegasnya lagi.

Chegubard juga menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa tindakannya membuat pendedahan demi pendedahan adalah bertujuan untuk menjatuhkan Azmin, sebaliknya ia dilakukan demi memenuhi aspirasi reformasi bagi memperjuangkan hak rakyat.

"Tender terbuka ialah janji reformasi kita kepada rakyat," tegasnya.

Tindakan membuat pendedahan di media juga ujarnya, dilakukan selepas semua saluran dalaman parti digunakan untuk menyuarakan teguran.

"Tiada pilihan bila tidak ada tindakan diambil. Saya ke media setelah menggunakan semua saluran dalaman demi mempertahankan prinsip reformasi," katanya sambil menjelaskan beliau boleh menjelajah seluruh negara membuat siri penerangan, namun enggan berbuat demikian kerana tidak mahu berlaku pertembungan dalam parti.

Tambahnya, beliau sedar dengan risiko kerana mendedahkan dokumen berlabel rahsia yang berkait dengan Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA).

"Namun didikan gerakan reformasi ialah jika nampak kepincangan maka menjadi amanah kita untuk membongkarkan dan menentangnya.

"Azmin diseru agar kembali semula ke landasan perubahan dan reformasi yang diperjuangkan oleh Anwar Ibrahim. Buang ego, hentikan kerakusan haloba dan jadilah pemimpin kepada semua, bukan kartel dia sahaja," tegasnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment