Tuesday, February 23, 2016
Dividen 6.4 Peratus KWSP Sangat Baik – Abdul Wahid
PUTRAJAYA : Kadar dividen 6.4 peratus bagi 2015
yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sangat baik
berdasarkan konteks keadaan ekonomi global yang mencabar, kata Menteri
di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Beliau berkata kadar itu adalah yang kedua tertinggi selepas dividen
6.75 peratus yang diumumkan pada tahun sebelumnya, selain antara yang
tertinggi berbanding pencapaian dana-dana besar lain di luar negara.
“6.4 peratus sebenarnya sangat baik, dan sebagai pencarum yang
mempunyai simpanan di KWSP, saya ucapkan terima kasih (kepada pengurusan
KWSP) kerana saya boleh menggunakan wang itu.
“Jadi, saya ucapkan tahniah kepada pengurusan KWSP. Jika diikutkan,
untuk menguruskan dana sebesar (kira-kira) RM680 bilion secara efektif
bukanlah mudah untuk mendapatkan pulangan 6.4 peratus,” katanya.
Abdul Wahid yang pernah menerajui Maybank ditemui pemberita
selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Pengoperasian Agenda
Pembangunan Mampan 2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya
(PICC), di sini hari ini.
Sabtu lepas, KWSP mengumumkan kadar dividen 6.4 peratus bagi 2015, dengan pembayaran keseluruhan berjumlah RM38.24 bilion.
Sebanyak RM5.98 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu peratus
kadar dividen bagi tahun berkenaan, iaitu peningkatan 10.13 peratus
berbanding RM5.43 bilion pada 2014.
Menurut KWSP, peningkatan itu seiring dengan pertumbuhan aset
pelaburannya sebanyak RM684.53 bilion setakat 31 Dis 2015 manakala
pendapatan kasar tumbuh 13.18 peratus kepada RM44.23 bilion berbanding
RM39.08 bilion pada 2014.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment