Monday, February 22, 2016
Najib Imbas Suka Duka Sepanjang 40 Tahun Jadi Orang Politik
PEKAN : Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan perjalanannya kerjaya
politiknya sepanjang 40 tahun sejak 21 Februari 1976 lalu penuh dengan
berliku dan sarat dengan kisah suka duka serta pelbagai asam garam
kehidupan.
Perdana Menteri berkata sejak mula menjadi Ahli Parlimen Pekan sewaktu
berusia 22 tahun tujuh bulan pada 1976, beliau tidak sunyi daripada
pelbagai ujian getir termasuk nyaris terkorban sewaktu helikopter yang
dinaikinya mengalami kerosakan dan berpusing menyebabkan ia terpaksa
melakukan pendaratan cemas di Janda Baik, Pahang, pada tahun 1987.
"Sepanjang 40 tahun telah tentu banyak sekali yang saya terpaksa hadapi
dan kalau Allah tak melindungi, mungkin umur saya tak panjang sampai
hari ini.Saya pernah beberapa kali nyaris maut tetapi tidak ramai orang
tahu.
"Salah satunya helikopter yang dinaiki nyaris-nyaris terjatuh di kawasan
Janda Baik, namun Alhamdulillah saya selamat," katanya ketika berkongsi
kisah suka duka sepanjang 40 tahun melibatkan diri sebagai orang
politik.
Beliau membuka cerita itu ketika berucap selepas majlis tahlil, doa
selamat dan solat hajat perdana sempena 40 tahun penglibatannya dalam
politik dan pentadbiran kerajaan di Masjid Sultan Ahmad Shah, di sini
malam Ahad.
Majlis anjuran Umno Bahagian Pekan itu turut dihadiri oleh Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar
Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Najib berkata beliau juga mengalami detik cemas apabila hampir terjatuh
sewaktu bertukar bot ketika melawat kawasan di Pulau Tioman semasa
Rompin masih berada di bawah Parlimen Pekan.
"Kereta yang saya naiki juga pernah kemalangan...terbalik sewaktu hujan. Ketika itu isteri saya (Datin Seri Rosmah Mansor) sedang mengandung dan
sedar-sedar sahaja kereta telah dimasuki air, namun Alhamdulillah kami
selamat," katanya.
Justeru, katanya majlis kesyukuran malam ini memadai untuk menyambut
ulang tahun 40 penglibatannya dalam politik kerana tanpa keredhaan
Allah, sudah pasti beliau tidak sampai ke tahap ini.
Najib turut menyifatkan hari ini sebagai hari yang penuh perasaan dan
nostalgia bagi dirinya dan Pekan dipilih sebagai tempat untuk meraikan
ulang tahun tersebut kerana di sinilah karier politiknya bermula.
Menurutnya tanpa bantuan dan sokongan orang Pekan beliau tidak mampu untuk bertahan sehingga kini.
Najib turut menyingkap rahsia semasa detik awal penglibatannya dalam
politik, beliau sendiri tidak yakin dengan dirinya memandangkan usianya
ketika itu yang baru setahun jagung dan baru pulang dari luar negara.
"Saya fikir nak bertanding atau tidak...ketika itu saya baru sahaja
bekerja selepas lapan tahun belajar di luar negara. Nak bercakap bahasa
Melayu pun masih gugup, apa lagi nak berucap dalam bahasa Melayu, orang
kata 'ketaq lutut'.
"Saya terpaksa belajar dari orang Pekan Lama dan di rumah kayu lama itu
(rumah Allahyarham Tun Razak di Pekan) saya belajar segalanya," katanya.
Beliau mengambil keputusan menceburi bidang politik kerana hanya
menerusi cara itu beliau dapat membantu rakyat yang susah dan miskin dan
itu memberikan satu kepuasan peribadi kepada dirinya.
"Kepuasan yang mendalam dan menyentuh perasaan apabila saya dapat bantu
orang yang benar-benar susah dan miskin serta memerlukan pertolongan
sama ada wang, rumah, bantu mereka pergi haji atau dapatkan biasiswa
untuk pelajar susah," katanya.
Sebagai ahli politik dan Anggota Parlimen Pekan, Najib turut melahirkan
rasa bangga kerana telah banyak membantu melakukan pembaharuan dan
pembangunan untuk negara termasuk untuk daerah Pekan dan Pahang khasnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment