Monday, February 22, 2016

Peraga Keindahan Silat Untuk Tarik Minat Belia – Khairy

https://pbs.twimg.com/media/CbzjVV_UsAEJHxI.jpg
PUTRAJAYA : Keindahan silat perlu diperagakan dalam bentuk yang menarik dan moden tanpa mengubah elemen penting seninya untuk menarik minat belia menyertai aktiviti silat, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata seni silat yang merupakan sebahagian daripada identiti negara khususnya bangsa Melayu perlu terus dikekalkan dan dihargai oleh golongan muda.

“Kita mempunyai pelbagai kepakaran teknologi, mempunyai kreativiti dan mempunyai kesungguhan tinggi bagi melangkaui populariti budaya lain tanpa mengubah identiti dan prinsip asas budaya kita,” katanya ketika melancarkan program realiti Akademi Silat Pendekar Muda (ASPM) 2016, di sini hari ini.

ASPM yang mendapat kerjasama Pertubuhan Daie Muda, Kementerian Belia dan Sukan, Utusan Malaysia dan penaja utama Kopi Pak Belalang akan bersiaran di TV AlHijrah pada setiap Rabu pukul 9 malam bermula 9 Mac ini.

Khairy berkata program yang melibatkan 12 peserta itu boleh menjadi inisiatif yang baik bagi menarik kembali minat golongan muda bukan sahaja anak Melayu malah minat semua kaum kepada seni silat.

“Bila saya dengar profil peserta yang terlibat, saya kagum kerana ramai dalam kalangan mereka berusia awal 20-an dan mempunyai pekerjaan tetap seperti guru dan usahawan, namun mereka terus memantapkan kemahiran dalam silat.

“Jadi tidak semestinya kita lupakan kerjaya untuk mengekalkan jati diri bangsa,” katanya.

Ditanya kemudiannya sama ada Malaysia akan membuat permohonan agar silat menjadi sebahagian daripada acara sukan Olimpik, Khairy berkata usaha untuk mempopularkan sukan itu perlu dipergiat bagi menarik penglibatan negara lain.

“Perjalanan masih jauh, untuk membuat permohonan bagi sesebuah sukan di Olimpik, ia perlu dipertandingkan di peringkat antarabangsa dan disertai oleh banyak negara.

“Sekarang belum mencukupi, tetapi suatu hari jika silat sudah popular dan disertai banyak negara mungkin kita boleh buat permohonan, tetapi sekarang kita belum sampai tahap itu lagi,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment