Monday, February 22, 2016
Bincang Sesuatu Isu Di Dalam Mesyuarat Parti – Annuar Musa
KOTA KINABALU : Pemimpin dan anggota UMNO diingatkan supaya
membawa sesuatu isu atau masalah untuk dibincangkan di dalam
mesyuarat parti atas semangat satu pasukan, kata Ketua Penerangan UMNO
Tan Sri Annuar Musa.
“Kita bekerja sebagai satu pasukan, semua (anggota UMNO) yang
mempunyai jawatan termasuk saya sebagai ketua penerangan, ada apa-apa
(isu dan masalah) kita boleh berbincang dalam mesyuarat.
“Jangan bercakap di luar tetapi dalam mesyuarat tidak bercakap,”
katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama Biro
Penerangan UMNO Sabah di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Sapawi Ahmad dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia Jamawi Jaafar.
Terdahulu, Annuar yang mewakili Majlis Tertinggi UMNO menghadiri
Majlis sambutan Jubli Perak UMNO Sabah di Bangunan UMNO negeri, di sini.
Sambil mengucapkan tahniah dan syabas kepada UMNO Sabah, Annuar
berharap sambutan itu akan menyemarakkan lagi roh dan semangat UMNO di
negeri ini dengan menerapkan nilai juga penghayatan kepada prinsip dan
dasar perjuangan parti.
“Tahniah kepada UMNO Sabah. Sabah khususnya rakyat negeri ini telah
menerima banyak manfaat dan kemajuan, dan ini adalah kerana muafakat,
berkat kesetiaan dan perjuangan,” katanya.
Mengenai perjumpaan itu, Annuar gembira melihat jentera penerangan
UMNO Sabah berada dalam keadaan bersiapsiaga untuk bekerja bagi
menghadapi pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, sebagai seorang yang baharu ditugaskan memegang
portfolio itu, Annuar berkata beliau perlu memberi garis panduan
tertentu selain mengatur gerakan jentera penerangan yang lebih efektif
dan efisien.
Katanya biro penerangan UMNO Sabah adalah jentera yang banyak
melakukan kerja untuk terus memastikan kelangsungan perjuangan parti di
negeri ini.
“UMNO Sabah adalah antara paling aktif dalam negara. Saya fikir,
kalau tidak kerana efisiennya UMNO Sabah, sudah tentu ia tidak menjadi
parti yang lebih daripada simpanan tetap kepada kita.
“Bagaimanapun, mana-mana ruang yang boleh diperbaiki dan ditambah baik, itu yang akan saya lakukan,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment