Monday, February 22, 2016
Ikutilah Kata Kata Prof Dr Mohd Ridhuan Tee..... Mitos Melayu Malas 3M vs 3D
Mampukah belia Melayu menceburi bidang kerja 3D (Dirty, Difficult dan
Dangerous) seperti yang dilakukan oleh buruh asing, kaitan dengan
cadangan untuk membawa masuk 1.5 juta Bangladesh? Jawapannya, sudah
tentu mampu jika Melayu sedar diri dan mahu berubah.
Bacalah buku Pendeta Za’ba (2009), khusus untuk Melayu, perangai
bergantung kepada diri sendiri. Mitos Pribumi Malas (Syed Hussein
Alatas, 1989). Jika nak sesuatu itu berubah, mesti datang dari diri
sendiri terlebih dahulu. Yang lain, hanya boleh membantu. Jangan pergi
jauh, sektor pembantu rumah, berapa ramai orang Melayu yang sanggup
bekerja? Hampir tiada.
Mengenali hakikat kejadian manusia, ALLAH jadikan kita adalah
sebaik-baik makhluk. Bacalah sejarah manusia dan sejarah Melayu. Setiap
insan atau bangsa ada kelebihan tertentu, sama ada sedar atau tidak.
Tidak timbul isu, hanya Cina sahaja rajin, Melayu tidak. Masa Melayu,
selalu lambat, orang lain tidak. Masalahnya bukan berkaitan dengan
bangsa tetapi sikap. Mahu berubah atau tidak? Apa pula tanggungjawab
pemimpin terhadap umatnya. Kenapa Melayu di luar negara boleh berjaya?
Kenapa tidak dalam negara? Apa punca masalahnya?
Ya, tidak dinafikan segelintir Melayu mahukan kerja glamor, popular dan
kaya. Jika ada program realiti pastinya orang Melayu yang berbaris
panjang, walaupun mungkin bakat seni tidak ada. Mari kita bersama cari
ubat Melayu. Pertama, ubatilah hati agar bersih, ikhlas dan bersangka
baik sesama sendiri.
Konsep ihsan mesti dihayati iaitu bekerja seolah-olah ALLAH nampak kita.
Hari ini mesti lebih baik daripada semalam. Esok mesti baik daripada
hari ini. Kata-kata siapakah itu?
Kedua, Melayu mesti menolong Melayu berasaskan Islam. Agama Islam sangat
mulia dan terpuji. Sediakan sekumpulan pakar untuk mengajar subjek
agama Islam sebagai agama yang positif dan dinamik. Islam sangat
menentang sikap bermalas-malas. Tangan yang memberi lebih baik daripada
yang menerima. Jika boleh, masukkan kurikulum dan kursus kahwin, bukan
hanya pendidikan seks semata.
Mereka yang berkebolehan, berbakat dan berilmu mesti diketengahkan.
Jangan 'dipetiaiskan' kerana takut memberi ancaman. Ada pemimpin politik
takut melantik orang yang lebih pandai daripadanya, takut-takut akan
dicantas. Maka dilantiklah ahli yang mudah diperkuda dan kerjanya asyik
membodek dan kata yes. Maka kekallah dia sebagai pemimpin sampai mati.
Hati dan sikap Melayu sebegini perlu diubati.
Ketiga, sikap Melayu (Attitude). Attitude jika disusun susun huruf A = 1
markah sehingga Z = 25, hasilnya 100 peratus.
1(A)+20(T)+20(T)+I(9)+T(20)+U(21) +D(4)+E(5)=100. Susunlah perbuatan
lain, tidak dapat 100 peratus. Bagaimana nak ubah sikap, juga berpunca
dari hati.
Dalam Islam, apa jua sektor kerja yang diceburi, yang paling penting
adalah halal, barulah berkat. Sanggupkah kita cuci longkang, potong
rumput, bina bangunan di tengah panas terik matahari. Sanggup. Pokoknya,
bayaran mesti setimpal. Kenapa kebanyakan orang suka berhijrah untuk
cari pekerjaan? Bayarannya berbaloi. Jika Melayu diberikan gaji minima
RM2,000 dan insentif lain, pasti ada yang sanggup. Negara untung, duit
tidak mengalir keluar. Gejala sosial boleh dikurangkan, kerana pekerja
asing selalu dahagakan seks.
Keempat, terdapat banyak institusi berkaitan Melayu dan Islam di negara
ini dan dibiayai kerajaan kerana perlembagaan membenarkan, termasuk
Majlis Profesor Negara. Buatlah kajian. Kerajaan dengarlah. Kenapa
sampai sekarang masih membincangkan isu Melayu?
Lihat NGO Cina, segala jenis persatuan mereka ada. Persatuan bahasa
(dialek), ikan, ayam, sayur, lori bas dan sebagainya. Bersatu dan
dinamik. Sekali mereka gegar...kecut! Ramai yang tunduk.
Kita asyik bergaduh. Kalangan cendekiawan, agamawan, penjawat awam dan
orang pencen tidak kurang politikingnya. Bila ada masa untuk
membincangkan kekuatan Melayu. Melayu semakin Melayu.
Kelima, teringat kata hikmah Ungku Aziz, (1) rajin bercakap - rajin
bekerja = bagus, (2) rajin bekerja - malas bercakap = kena buli, (3)
malas bekerja - rajin bercakap = wayang Cina, (4) malas bekerja - malas
bercakap = tak guna, (5) malas bekerja - suka mengadu = nyanyuk, (6)
malas bekerja - selalu ponteng = baik berhenti, (7) malas bekerja - suka
menyibuk = baik mati. Kategori mana duduk Melayu?
Melayu tidak boleh berlengah lagi. Perlu ada perancangan strategik
jangka panjang dengan memberikan keutamaan kepada isu yang mendesak.
Lakarkan visi strategik untuk melayari masa depan. Melayu juga perlu
gigih mencari kumpulan pemimpin yang lebih baik yang mampu mewakili
mereka dengan lebih berkesan dalam memperjuangkan kepentingan dan
aspirasinya.
*Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Felo Utama, INSPIRE dan pensyarah PPI, UnisZa
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment