Tuesday, February 23, 2016
UMNO Sabah Elemen Penting Dalam UMNO – Musa Aman
KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa
Aman berkata UMNO Sabah merupakan elemen penting dalam UMNO walaupun
merupakan ‘adik paling bongsu’ dalam parti itu yang berumur 70 tahun
pada 11 Mei ini.
Beliau berkata dengan sejumlah 25 Bahagian, 5,676 Cawangan dan
546,879 anggota, UMNO Sabah adalah komponen negeri terbesar dalam UMNO
sekaligus menjadi faktor signifikan dalam pembentukan kerajaan pimpinan
UMNO dan Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan.
Katanya keadaan ini telah membawa pemimpin dari Sabah ke arus perdana politik nasional.
“Pemimpin
dari Sabah kini bukan sekadar pemimpin negeri tetapi sudah
menjadi pemimpin di arus perdana dan yang jauh lebih penting, agenda
rakyat Sabah bukan lagi sekadar agenda negeri, tetapi telah menjadi
agenda nasional.
“Sebagai nakhoda UMNO dan kerajaan negeri, saya berikrar untuk
terus berjuang menjaga hak rakyat dan membela serta mempertahankan
kepentingan negeri,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Jubli
Perak UMNO Negeri Sabah di Bangunan UMNO, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Penerangan UMNO pusat Tan Sri Annuar Musa,
Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO yang juga Menteri Komunikasi dan
Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan kalangan pengasas UMNO
Sabah termasuk Tun Sakaran Dandai.
Mengimbas sejarah kedatangan UMNO ke Sabah 25 tahun lalu, Musa
selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, berkata ia adalah atas
pilihan dan kehendak pemimpin dan rakyat Sabah.
“UMNO tidak datang dengan sendirinya. UMNO tidak datang untuk
menjajah. UMNO tidak datang untuk merampas hak rakyat Sabah. UMNO hadir
atas kehendak kita. UMNO lahir atas pilihan kita.
“UMNO hadir membawa kesatuan dan perpaduan sesama kita pemimpin dan
rakyat Sabah. UMNO lahir untuk membawa Sabah keluar daripada
ketidakstabilan politik. UMNO hadir membawa pembangunan dan kemajuan
untuk rakyat dan negeri Sabah,” katanya.
Musa berkata suasana politik negeri Sabah pada ketika itu tidak
stabil dengan kerajaan sering bertukar ganti dan setiap kerajaan pula
tidak dapat fokus kepada usaha membangunkan Sabah kerana tumpuan lebih
terarah kepada kepentingan kaum yang mendukung parti memerintah.
“Bukan sahaja sebahagian besar rakyat kita berpecah secara politiknya
… ketidakstabilan politik telah merencatkan pembangunan, sehingga
negeri kita jauh ketinggalan di belakang negeri-negeri lain termasuk
jiran kita Sarawak.
“Ini ditambah lagi dengan hubungan yang renggang dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Musa berkata keadaan itu telah memaksa pemimpin Sabah untuk mencari
model politik yang boleh menstabilkan politik dan sebagai wadah
penyatuan.
Atas kesedaran itu, katanya para pemimpin Pertubuhan Kebangsaan
Sabah Bersatu (USNO) yang dipimpin Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu
Harun serta beliau sendiri akhirnya bersetuju untuk membubarkan parti
berkenaan dan beramai-ramai bersama-sama penyokong USNO menyertai UMNO.
“Tun Datu Mustapha adalah contoh teladan pemimpin yang sentiasa
meletakkan kepentingan perjuangan melebihi kepentingan peribadi. Tokoh
pejuang tulen ini sanggup membubarkan parti yang beliau sendiri asaskan
atas kepentingan agenda perjuangan yang lebih besar.
“Pengorbanan Allahyarham Tun adalah manifestasi jiwa besar pemimpin
sejati yang sekaligus membawa mesej jelas kepada kita bahawa perjuangan
lebih besar daripada individu. Perjuangan lebih utama dan terletak pada
unjuran yang paling atas berbanding mana-mana individu sekalipun,”
katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment