Tuesday, February 23, 2016

Apa Asas Kedutaan Australia Keluar Amaran Ancaman Keganasan Di KL

Polis Diraja Malaysia (PDRM), kecewa dengan amaran ancaman yang dikeluarkan pihak Kedutaan Australia, pada Ahad berhubung serangan pengganas ke sekitar Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid berkata, pihak kedutaan negara berkenaan seharusnya memaklumkan sebarang maklumat yang diterima kepada pihak berkuasa negara ini sebelum mengeluarkan sebarang amaran yang tidak pasti.

"Saya sendiri tidak tahu apa asasnya amaran berkenaan dikeluarkan sedangkan keadaan semasa di negara ini berada dalam keadaan terkawal dengan pengawasan dan kerjasama antara PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Ingin ditegaskan kita mengutamakan keselamatan semua pihak termasuk pelancong asing daripada sebarang elemen pengganas dan juga jenayah," katanya.

Menurut kenyataan laman web rasmi Australia, rakyatnya diberi amaran berjaga-jaga dengan ancaman pengganas yang mungkin menyasarkan kawasan yang sering dikunjungi warga asing khususnya pelancong Barat.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tahap keselamatan di Sabah, Khalid berkata keadaan di negeri itu masih selamat.

"Kami tahu di sebelah Sabah sana khususnya di kawasan pantai timur masih ada lagi ancaman jenayah, maka PDRM dan ATM mengambil langkah proaktif dengan memastikan keselamatan di sana sentiasa terjamin," katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment