Tuesday, February 23, 2016

Ustaz PAS Rasa Pelik? Pelik Ahli PAS Sokong DAP

Ahli-ahli Pas yang tidak berpuas hati dengan parti berhubung isu putus hubungan dengan DAP dinasihatkan agar bermuhasabah dan bertanya kepada diri sendiri sama ada mereka ahli Pas atau DAP.

Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, sebagai ahli Pas, golongan berkenaan sepatutnya mempertahankan parti dalam apa jua situasi.

Katanya, namun jika masih ada pihak tidak berpuas hati dengan isu berkenaan, mereka tidak pernah dihalang untuk menjadi ahli DAP.

"DAP lebih dahulu membuat onar dengan kepimpinan parti ini apabila memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 23 Mac tahun lalu.

"Ketika itu kita tidak pernah memutuskan hubungan dengan mereka sehinggalah beberapa bulan lalu, apabila Dewan Ulama Pas sebulat suara meluluskan usul tergempar, memutuskan hubungan dengan DAP," katanya.

Nassuruddin yang juga Adun Meranti berkata, beliau berasa pelik melihat sikap golongan minoriti dalam Pas yang lebih cenderung menyebelahi DAP.

Menurutnya, pemimpin Pas lebih mengenali keperibadian pemimpin DAP yang boleh diibaratkan seperti 'dulu lain, sekarang lain'.

"Hanya kerana mereka sudah berjaya memegang tampuk pemerintahan di Pulau Pinang selama dua musim, sebahagian pemimpin DAP dilihat sudah besar kepala dan cuba membentuk pentadbiran Pas terutama berkenaan hukum hudud.

"Kita tahu mereka bukan Muslim dan menolak hukum hudud. Namun saya pelik dengan sikap Muslim yang meyokong kepimpinan bukan Muslim dalam isu itu," katanya dalam Ceramah Pas Isu Semasa di Cabang Tiga Pohon Keranji Meranti, malam kelmarin.

Hadir sama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment