Wednesday, February 24, 2016
'Macai Pemakan Dedak' Pandai Bercakap Tentang Maruah?
EDITOR MENULIS...
23 FEBRUARI 2016
Ada seorang 'macai' Dato' Seri Mukhriz Mahathir yang bertanyakan soalan
bodoh tentang seruan kepada ahli serta penyokong UMNO supaya kembali ke
perjuangan demi kepentingan parti, dan menolak perjuangan demi
kepentingan peribadi.
'Macai' itu bertanyakan tentang persepsi pada pucuk pimpinan UMNO, sama
ada semakin dihormati dan lebih kuat. Dan secara sinis, 'macai' itu
mempersoal kononnya pucuk pimpinan menjadi badut sarkas yang asyik
diketawakan. Dia seterusnya bertanya di mana maruah sebagai parti
keramat Melayu yang bernama UMNO dengan situasi itu.
Itu yang 'macai' Mukhriz faham tentang perjuangan? Saya fikir selaku
'kepala perang', otaknya bergeliga, tapi mungkin hanya geliga di
kalangan 'macai' Mukhriz sahaja, tapi tidak mengenal erti politik
kepartian dengan lebih teliti.
Pada pandangan saya, ketika mana Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi
Perdana Menteri, mungkin 'macai' itu baru kenal dunia. Mungkin dia baru
sekolah rendah dan hingus selalu meleleh minta dilap berkali-kali. Dia
mungkin tidak tahu erti politik sebenar. Tidak belajar tinggi atau bukan
lulusan universiti mungkin?
Mahathir ketika awal naik jadi Perdana Menteri, kedudukan beliau goyah.
Dilantik ke jawatan itu pada 1981, Mahathir berkali-kali terpalit dengan
bermacam jenis skandal mega dan pelbagai isu yang amat kontroversi.
UMNO pernah diharamkan di zaman Mahathir. UMNO berpecah-belah di zaman
Mahathir. Sengketanya dengan Ku Li melahirkan Semangat 46 dan pemecatan
Anwar pula melahirkan PKR. UMNO betul huru-hara di bawah 22 tahun
pentadbirannya.
Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas yang tidak bersalah dipecat begitu
saja. Boleh dikatakan fenomena pegawai-pegawai awam termasuk Special
Branch dan seumpamanya adalah biasa. Melawan sikit, pasti akan disuruh
bersara, ditukar atau 'disejuk bekukan'.
Di zaman Mahathir, mana-mana Timbalan Menteri, Menteri atau Timbalan
Perdana Menteri sekalipun tidak berani angkat muka. Sekadar cadangan
yang membantah sedikit idea Mahathir, pasti kariernya 'tidak hidup
lama'. Cuba periksa sendiri berapa ramai Timbalan Menteri, Menteri dan
Timbalan Perdana Menteri yang pernah menjadi mangsa beliau.
Kerana corak itulah beliau digelar MahaFiraun dan MahaZalim oleh pihak
pembangkang ketika itu. Mereka diluar melihat. Rakyat di zamannya turut
menjadi saksi. Pelbagai dasar yang beliau memang ditentang hebat. Cuma
ketika itu belum ada Blog, Facebook, Instagram atau media sosial untuk
hentam Mahathir sebagaimana yang Dato' Seri Najib Razak alami sekarang.
Untuk pengetahuan 'macai' Mukhriz itu, semua pihak tertekan ketika itu.
Skandal-skandal yang membabitkan perniagaan anak-anaknya 'ditutup
rapat'. Siapa yang 'buka', siaplah akan beliau kerjakan secukup rasa.
Anwar sebagai contoh antara mangsa skandal 'mega-bailout'.
Siapa kata parti kuat ketika itu? Presiden UMNO ketika itu tutup sebelah
mata bila Anwar tebar kertas 'pink' ketika pemilihan UMNO. 'Cash is
King' hidup subur di zaman 'ayahanda' kepada bos 'macai' tersebut.
Dialah 'bapa' kepada 'Cash is King' yang merosakkan dalaman UMNO lebih
dua dekad.
Bercakap mengenai perjuangan yang belum selesai? Perjuangan apa yang
belum selesai? Perjuangan untuk mengkayakan perniagaan anak-anaknya?
Sudah letak jawatan Penasihat Petronas, beberapa jam kemudian telefon
Najib minta tarik balik perletakan jawatan? Sebab apa? Sebab mahu
selamatkan syarikat anak sebagai pembekal utama dalam GLC terkaya
negara?
'Macai' usah cakap soal perjuangan jika ramai yang 'macai' sepertinya
dikatakan 'pemakan dedak'. Usah bercakap soal badut sarkas jika ayahanda
bosnya dulu diperlakukan lebih teruk dari badut sarkas kelas bawahan.
Usah berbicara soal maruah parti jika diri 'macai' sendiri tiada maruah,
apabila bila merelakan perjuangan parti 'dibeli' individu tertentu.
Untuk bercakap soal parti, boleh tunggu pemilihan agong UMNO. Ketika
itu, lobilah Mukhriz semahu mungkin. Jika Allah izinkan, maka menanglah
nanti Mukhriz. Dengan lobi dari 'macai', mungkin Mukhriz akan menang
bertanding jawatan dalam UMNO, setelah tewas berkali-kali dalam
pemilihan sebelum ini.
Dalam parti, ada yang membenci Dr Mahathir dahulu. Ada yang berikrar
mahu jatuhkan Mahathir, melancarkan gerakan menumbangkan Mahathir, dan
ada ahli UMNO yang tutup televisyen bila Mahathir berucap. Tapi,
perasaan peribadi itu diketepikan apabila berdepan dengan masyarakat
umum terutama menjelang pilihan raya.
Kenapa diketepikan kebencian pada Mahathir? Kerana takut padanya? Tidak!
Perasaan itu diketepikan kerana status Mahathir sebagai Presiden dan
prinsip politik kepartian yang tinggi. Jati diri Melayu UMNO yang segar
dan tulen dari pejuang parti sebenar, bukan jenis 'pemakan dedak'
seperti 'macai' Mukhriz.
Dihulurkan salam damai, tapi tuba yang dibalas Mukhriz dan
'macai-macai'nya? Itulah contoh terbaik politik yang mementingkan
kepentingan peribadi berbanding politik kepartian. Agaknya itulah yang
'macai' katakan sebagai 'bermaruah'?
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment