Wednesday, February 24, 2016
Majikan Jadi Punca Utama Pendatang Asing "Mengganas" Di Malaysia
Majikan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) diingatkan supaya tidak
mengambil sikap sambil lewa atau tunggu dan lihat, untuk mendaftar
menerusi Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, mereka
sepatutnya segera mengguna peluang itu dan bukannya menunggu saat akhir
untuk berbuat demikian.
"Kita pernah melakukan program sama sebelum ini dan sekarang kita
melaksanakannya sekali lagi, bagi memberi peluang kepada majikan
mendaftarkan pekerja mereka supaya PATI boleh mendapat permit kerja yang
sah.
"Jangan tunggu saat-saat akhir kerana jika majikan dikesan menggunakan
pekerja asing tidak sah, mereka boleh dikenakan denda dan ini akan
merugikan mereka," katanya.
Beliau berkata Jabatan Imigresen giat melaksanakan operasi secara
bersepadu bagi mengesan PATI di seluruh negara, dan tindakan tegas akan
dikenakan kepada majikan yang melindungi atau menggaji mereka.
Nur Jazlan berkata, program itu yang turut dikenali sebagai Program
'Rehiring' bermula pada 15 Februari lepas dengan 8,689 permohonan
daripada 1,144 majikan diterima sehingga semalam.
"Masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan program ini yang
dilaksanakan menerusi dalam talian, dan semua pihak khususnya majikan
perlu bersama dengan kerajaan untuk menjayakannya," katanya sambil
menyangkal dakwaan kononnya program itu kurang mendapat sambutan
daripada majikan.
"Ada pihak yang cakap program ini kurang berjaya dan tidak mendapat
sambutan daripada majikan, tetapi saya ingin tanya kepada mereka..,
apakah fakta yang mereka gunakan untuk membuat kenyataan sedemikian.
"Program ini masih awal, kita berharap mereka yang cakap program ini
tidak mendapat sambutan, dapat membantu kerajaan menyelesaikan masalah
PATI ini, bukannya hanya merungut dan komen sahaja," katanya.
Mengulas lanjut mengenai situasi lambakan PATI di negara ini, Nur Jazlan
berkata sebahagian besar masalah itu berpunca daripada sikap majikan
itu sendiri yang mahukan pekerja asing tetapi tidak mahu
bertanggungjawab ke atas mereka.
Katanya ada kalangan majikan yang menjanjikan gaji lumayan kepada
pekerja asing namun apabila pekerja terbabit tiba di Malaysia, janji itu
tidak dipenuhi menyebabkan mereka terpaksa mencari pekerjaan lain.
Situasi itu menyebabkan pekerja asing merasa teraniaya, hilang punca dan
arah tujuan yang akhirnya mungkin menyebabkan mereka terlibat dalam
masalah sosial yang menjejaskan keselamatan rakyat negara ini, katanya.
"Mereka (majikan) sendiri yang mahukan pekerja asing, selepas mereka
dibenarkan menggaji pekerja asing, pekerja itu dianiaya kemudian semua
pihak menunding jari menyalahkan kerajaan.
"Akhirnya kerajaan jugalah yang terpaksa menyelesaikan masalah yang
ditimbulkan oleh sesetengah majikan yang tidak bertanggungjawab ini,"
katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment