Monday, February 22, 2016

Agaknya Berapa Kali ‘Dia’ Didesak Letak Jawatan?

Semalam, seorang Timbalan Presiden menyatakan kepada media bahawa tindakan mendesak seorang Presiden parti meletakkan jawatan yang disandang adalah satu tindakan yang tidak salah dari sudut pandang mata pemikirannya.

Timbalan Presiden itu juga dalam kenyataannya mengatakan bahawa beliau memandang tinggi dan menghormati desakan segelintir ketua-ketua cawangan yang menuntut Presiden parti untuk meletakkan jawatan. Itu katanya.

Apabila memikirkan kenyataan Timbalan Presiden itu, kita pastinya teringat pada sejarah parti-parti di negara kita. Boleh dikatakan hampir semua presiden parti terbesar Melayu di negara kita ini pernah didesak meletak jawatan.

Allahyarham Tunku Abdul Rahman contohnya, walau berjasa besar memerdekakan Persekutuan Tanah Melayu ada ‘makhluk Tuhan’ itu yang menulis buku dan naik ke atas pentas pembangkang mendesak beliau meletak jawatan.

Tun Abdullah Ahmad Badawi pula yang masih hidup hingga kini, ‘makhluk Allah’ tertentu hingga bertindak keluar parti demi mendesak beliau meletak jawatan suatu masa dahulu. Namun demi parti, Tun Abdullah ‘mengalah’ dan menyerahkan jawatan kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sekiranya direnung kembali pada sejarah ’22 tahun’, bukan sekali dua bekas presiden itu didesak ramai pihak untuk meletak jawatan. Sampai terbelah-belah parti mendesak, sampai haram-mengharam parti akibatnya, namun ‘dia’ tidak meletak jawatan atau tunduk dengan desakan itu.

Jadi, adalah biasa saja jika seseorang presiden itu enggan meletak jawatan walaupun didesak sesiapa pun. Cuma pendekatannya adalah berbeza.

Di zaman Allahyarham Tunku Abdul Rahman dulu, pihak yang ‘menulis buku’ dan mendesak beliau meletak jawatan itu telah dipecat dari parti. Di zaman 22 tahun juga, jika tidak letak jawatan, tidak keluar parti, tidak sertai parti baru, maka siaplah diri untuk dipecat dari parti.

Namun di zaman ini, tindakan memecat mereka yang mendesak presiden untuk meletak jawatan itu tidak dilaksanakan buat sementara waktu, bergantung kepada kesabaran presiden.

Yang menghairankan, kenapa pula seorang Timbalan Presiden yang sebelum ini kononnya berikrar mahu membantu Presiden mengukuhkan parti tiba-tiba tidak mengotakan ikrarnya, sebaliknya menganggap tindakan mendesak Presiden untuk meletak jawatan sebagai satu tindakan yang ‘betul’ baginya?

Bagaimana pula dengan desakan ramai akar umbi yang mendesak supaya Timbalan Presiden meletak jawatan kerana memburukkan imej parti dengan krisis dalaman yang berterusan? Agaknya tindakan itu tidak dilihat ‘mulia’ dan ‘tepat’ oleh Timbalan Presiden kerana desakan itu ditujukan padanya?

Bagaimana pula dengan desakan Ketua-Ketua Bahagian parti yang mendesak supaya pucuk pimpinan menukar seorang Pengerusi parti dan Menteri Besar sebuah negeri? Tindakan itu Timbalan Presiden kecam kerana ia melibatkan seorang pemimpin dari ‘kapalnya’? ‘Double standard’!

Apakah wajar tindakan Timbalan Presiden tersebut? Kononnya jika Presiden meletak jawatan, maka parti akan kukuh? Apakah dia fikir dia mampu perkukuhkan parti dengan cara tersebut? Dari mana agaknya dia belajar perkukuhkan parti dengan cara itu? Dari ‘penulis buku yang pernah dipecat’?

Jika mengidam sangat kerusi presiden, tunggulah pemilihan agung nanti. Ketika itu, berentaplah sampai ‘biru muka’ pun, tiada siapa yang menegah. Tapi gunalah cara yang sihat dan tidak menjahanamkan parti. Harap Timbalan Presiden maklum… 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment