Tuesday, February 23, 2016

Ulang Tahun UMNO Ke-70 : Parti Perlu Terus Jadi Juara Membela Permasalahan Rakyat

KUALA LUMPUR : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Ali Mazat Salleh berkata UMNO perlu terus menjadi juara dalam membela dan menyelesaikan permasalahan rakyat dan tidak seharusnya sekadar menjadi sebuah parti bermusim dalam melaksanakan khidmat bakti kepada rakyat di seluruh negara.

Menurut beliau sejajar dengan sambutan ulang tahun UMNO ke 70 pada tahun ini, perkara berkenaan perlu terus dititikberatkan agar kepercayaan rakyat sejak sekian lama kepada UMNO tidak akan terhakis.

“Begitu juga dalam soal muafakat dan perpaduan berbilang kaum di negara kita. UMNO di semua peringkat perlu menyuarakan segala bentuk permasalahan rakyat. UMNO perlu bercakap perkara realiti dan bukan perkara retorik dan fantasi.
Bendera UMNO 
“Malah kita juga seiring dengan hasrat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaleed Nordin yang memberi penekanan agar semua bahagian khususnya wakil-wakil rakyat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin terutama dalam soal pembelaan terhadap penduduk.

“Inilah pendekatan kita dan inilah yang perlu kita teruskan. 70 tahun UMNO bersama dengan parti-parti lain di dalam Barisan Nasional (BN) menjadi nadi dalam kehidupan rakyat terutama melaksanakan tugas dan fungsinya kepada masyarakat. Jadi sejajar dengan 70 tahun sambutan UMNO, pemimpin dan ahli parti perlu istiqamah kepada peranan dan tugas yg sepatutnya dilakukan agar perkhidmatan UMNO terus diterima rakyat”. katanya kepada media, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah parti akan terus kuat apabila ahlinya bersatu padu dan saling melaksanakan peranan masing masing dengan jujur dan ikhlas tanpa bercakaran sesama sendiri dengan erti kata lain ada permuafakatan yang baik di antara sesama ahli parti.

Tambahnya dalam senario dan suasana yang cukup mencabar hari ini, parti juga tidak akan terkecuali dalam menempuh gelombang dan cabaran yang ada dan juga cabaran yang bakal mendatang.

“Dalam konteks UMNO Johor, konsep muafakat yang diperkenalkan oleh YAB Pengerusi Perhubungan insya Allah akan kita teruskan bersama kepimpinan parti di semua peringkat kerana dengan adanya permuafakatan sesama ahli ianya akan menjadikan parti terus kuat dan utuh.

“Malah gabungan permuafakatan dan juga pelaksanaan tanggungjawab secara menyeluruh akan terus menjadikan UMNO terus segar dihati rakyat dan kedatangan sambutan ulangtahun UMNO ke-70 pada 11 Mei nanti pasti akan mengingatkan masyarakat tentang jasa UMNO kepada negara selama ini.

“Marilah kita sama-sama berganding bahu, mengukuh permuafakatan sesama ahli UMNO dan membuang segala sengketa agar rakyat terus bersama dengan kita. Insya Allah,“ ujarnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment