EDITOR MENULIS
INSAN yang bernama Anwar Ibrahim memberikan kesan yang sangat mendalam
terhadap politik Malaysia sebaik beliau diberikan kesempatan dan ruang
oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad awal tahun 1982.
Sejak Mahathir menyokong Anwar dalam semua sudut sehingga Anwar naik
dengan mendadak dalam Kerajaan Malaysia dari Timbalan Menteri hingga
Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri dalam jangka kira-kira 10
tahun saja.
Sehingga itu, Anwar mendominasi senario dan landskap politik di negara ini walaupun pernah dipecat dari jawatan TPM pada 1998.
Pada 10 Februari 2015 tarikh bersejarah buat Pakatan Rakyat kerana
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu disabitkan tuduhan meliwat
dan dihukum penjara selama 5 tahun. Sudah pasti perhatian kini tertumpu
ke arah kerjasama dengan dua sekutu parti pakatan iaitu DAP dan PAS
yang dibentuk sejak 2008.
Anwar selama ini dilihat sebagai individu penting yang mampu mengikat
hubungan antara dua parti itu. Namun kini sudah pasti ia memberi kesan
besar terhadap hubungan kerjasama mereka. Perpecahan sedikit-sedikit
yang telah pun berlaku antara PAS dan DAP akan menjadi lebih parah
selepas ketiadaan Anwar. Mana tidaknya DAP dan PAS masih bertelagah
mengenai prinsip perjuangan parti masing-masing.
Dari kaca mata penganalisis politik rata-rata berangapan ketiadaan
Anwar yang selama ini berperanan sebagai sumber kekuatan yang menyatukan
hubungan kerjasama tiga parti itu akan menyaksikan pakatan pembangkang
kehilangan pengaruhnya dalam landskap politik tanah air.
Semua orang tahu sebelum ini Pas sememanya tidak boleh duduk semeja
dengan DAP, namun kewujudan Anwar semua perkara itu dapat
diselesaikannya sehingga tertubuhnya Pakatan Rakyat.
Sebenarnya agenda politik Pas dan DAP cukup berbeza ibarat lagit dengan
bumi. Namun, dengan tiadanya Anwar, Pas boleh meninggalkan Pakatan
Rakyat disebabkan pelbagai perbezaan yang sering menjadi 'isu hangat'
dalam pakatan.
Bagi DAP pula, ketiadaan Anwar bererti parti itu perlu memikirkan
semula keutamaan antara pilihan yang ada untuk menambat sokongan semasa,
sambil pada masa sama menambah sokongan yang berpotensi diperolehnya
dalam usaha untuk mengambilalih Putrajaya.
Kini timbul persoalan siapakah yang layak memainkan peranan seperti yang dilakukan oleh Anwar?
Kita dapat lihat sendiri PAS tidak sehaluan dengan sekutunya dalam isu
menteri besar Selangor tahun lalu dengan PKR dan juga dengan DAP
berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan dan dalam isu cadangan
pelaksanaan hudud di Kelantan.
Kini ia lebih mendadak dengan ketiadaan Anwar dan ditambah pula dengan
pemergian Allahyarham Nik Aziz baru-baru ini, PAS mungkin akan mendesak
lebih lagi. Keadaan ini bakal mewujudkan lebih pertentangan dalam
kalangan ahli PAS terhadap PR, khususnya DAP.
Namun, ada yang berpendapat bagi jangka masa panjang, kelangsungan
parti pembangkang tidak bergantung kepada personaliti tertentu tetapi
lebih kepada programnya, seperti dasar dan pendirian yang diambilnya.
Apa pun halangan masih ada kerana Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng nyata sekali berselisih
faham terhadap pelbagai persoalan dasar PR dan prosedur pentadbiran dan
ia terbawa-bawa hingga ke mesyuarat PR.
Dengan gambaran yang sedemikian, bagaimana mereka mahu mentadbir negara?
Ini yang membuatkan PR semakin bimbang kerana tanpa PAS mereka tidak
akan berjaya menjadikan kehadiran mereka dirasai selepas pilihan raya
umum akan datang. Kemungkinan cita-cita PR untuk menakluk Putrajaya juga
akan terus berkubur.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
No comments:
Post a Comment