Monday, April 27, 2015
Datuk Hasan Tekad Jayakan Asas Pembangunan Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Di Rompin
25 April 2015, Rompin : Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya
Kecil (PRK) Rompin, Datuk Hasan Arifin bukan sahaja berhasrat untuk
meneruskan asas yang telah diletakkan oleh Allahyarham Tan Sri Dr
Jamaluddin Jarjis, malah mempunyai misi serta perancangan yang
tersendiri dalam usaha melonjakkan lagi Parlimen Rompin ke tahap yang
tinggi.
Dengan pelbagai idea yang keseluruhannya untuk manfaat penduduk
setempat, 5 April ini bakal menentukan apakah segala visinya itu akan
dapat direalisasikan setelah pengundi bakal membuat pilihan siapakah
pengganti kepada Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis daripada BN.
UMNO-Online berkesempatan menembual Datuk Hasan Arifin
secara ekslusif selepas sehari beliau memulakan kempennya. Walaupun masa
yang terhad, beberapa perancangan dilontarkan dan ikuti temubual
bersama beliau yang diadakan di Pejabat UMNO bahagian Rompin.
UMNO-Online : Tahniah Datuk setelah terpilih sebagai
calon mewakili BN pada PRK kali ini. Tentunya PRK ini, umumnya akan
melihat BN berada pada kedudukan selesa dengan majoriti dahulu 15,00
lebih. Bagaimana Datuk melihat senario ini.
Datuk Hasan : Kemenangan dulu agak selesa…jadi
insya-Allah kita akan terus bekerja keras untuk memastikan kemenangan
dengan majoriti ditingkatkan atau sekurang-kurangnya mengekalkan
majoriti yang dahulu.
Dan keduanya jangan ambil mudah…kalau berangapan bahawa kita boleh
menang…jadi penyokong kita sendiri tak nak keluar mengundi dan jentera
ambil mudah…ini yang kita nak elakkan.
UMNO-Online : Bagaimana pula dengan isu-isu yang dilontarkan di sini oleh pihak lawan.
Datuk Hasan : Saya nampak isu nasional lebih dominan seperti isu GST
dan sebagainya lagi. Isu tempatan sikit-sikit. Jadi kita akan
mempermudahkan penerangan kepada pengundi dalam isu-isu yang
dibangkitkan itu bagi mengelakkan kekeliruan.
Saya lebih cenderung kepada jumpa pengundi. Jumpa di gerai dan
sebagainya. Kita adakan kunjungan di tempat ramai pengundi di samping
adakan ceramah-ceramah secara berkelompok dalam jumlah yang kecil dan
sederhana. Kempen lebih secara bersemuka.
UMNO-Online : Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin
Jarjis tentunya telah meletakkan Rompin sebagai satu kawasan yang sedang
meningkat membangun baik dari sudut ekonomi dan sebagainya. Bagaimana
Datuk melihat perkara ini.
Datuk Hasan : Betul…Asasnya dah ada… Ahli Parlimen
sebelum ini, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin telah letakkan asas yang
agak kuat dari sudut pembangunan di sini. Saya hanya meneruskan dan cuba
untuk mempertingkatkan lagi usaha-usaha pembangunan di sini. Terbaru
ECER sudah pun melaksanakan pertanian dengan penanaman nenas dan
insya-Allah sampai ke tahap untuk mengetin.
Rompin dekat di hati saya. Saya nak jadikan Rompin sebagai kawasan
pertanian moden. Keduanya meningkatkan industri pertanian yang
berkualiti tinggi. Ketiga menjadikan jelapang padi di daerah Rompin ini
mengeluarkan hasil tanaman yang tinggi dari segi tan…kalau sekarang 4-5
tan satu hari nanti sehingga 10 tan untuk satu hektar. Keempat
meningkatkan lagi lonjakan industri pelancongan yang berpotensi ke arah
yang besar.
Dari sudut infrastruktur dan sebagainya kita berpuas hati. Namun
masih ada ruang yang boleh kita teruskan khususnya dalam meningkatkan
lagi ekonomi penduduk setempat. Ini antara yang kita nampak terutama di
kawasan belah pantai.
Kita boleh lakukan umpamanya menggalakan industri kecil dan sederhana yang berorientasikan ‘labour intensive’ (intensif buruh).
Lagi satu saya nak tekankan industri pelancongan. Rompin mempunyai
industri yang besar dari sudut pelancongan dan sekarang pun dah ada satu
dua produk pelancongan seperti ikan layar yang dijadikan program
tahunan.
Keduanya Tioman sendiri dah terkenal. Sekarang kita nak cuba
promosikan Tioman dan Taman Negara Endau Rompin sebagai destinasi
pelancongan penting bagi daerah Rompin ini yang boleh menjana kegiatan
ekonomi.
Pertanian pastinya merupakan asas penting dalam pembangunan ekonomi
dan kita juga akan cuba berusaha untuk menjadikan Rompin sebagai
pengeluar bahan-bahan pertanian Negara. Rompin dah berpuluh tahun
terkenal dengan tembikai tanpa biji yang diasaskan oleh orang-orang
Rompin.
Pembangunan secara menyeluruh juga akan diberi tumpuan baik
masyarakat orang asli dan juga masyarakat Felda dan sebagainya lagi.
Sistem solar contohnya akan siap tidak lama lagi untuk kemudahan
masyarakat orang asli seperti di Kundang, Jemeri dan sebagainya lagi.
UMNO-Online : Bagaimana pula dalam soal pendidikan.
Datuk Hasan : Yang menariknya di sini, Muadzam Shah
ada dua institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Tenaga Nasional
(UNITEN) dan Politeknik. Insya-Allah, kita akan cuba untuk menarik satu
institusi penting iaitu UiTM kalau boleh iaitu di kawasan Kuala Rompin.
Itu antara agenda besar kita dan akan diperhalusi sebaik mungkin. Begitu
juga dalam prospek lain bagi sektor ini khususnya anak-anak kita di
sini.
UMNO-Online : Apa harapan Datuk kepada pengundi di sini khususnya pada hari membuang undi iaitu 5 April nanti.
Datuk Hasan : Insya-Allah jika diberi kepercayaan
sudah pasti hasrat saya adalah untuk berkhidmat di Daerah Rompin ini.
Seperti yang saya katakan tadi Rompin cukup dekat di hati saya. Sebelum
ini pun tak jadi wakil rakyat saya masih berkhidmat kepada masyarakat
setempat. Jika diberi kepercayaan, insya-Allah saya boleh lonjakkan lagi
perkhidmatan untuk masyarakat di Daerah Rompin.
Akhir kalam, saya merayulah kepada pengundi agar memberi peluang
kepada saya untuk berkhidmat di sini dan insya-Alllah jika diberi
kepercayaan saya tidak akan mengabaikan dan tidak akan sia-siakan serta
tidak akan kecewakan pengundi dengan memberikan perkhidmatan sebaik
mungkin untuk pembangunan ekonomi, sosial dan sebagainya di sini.
Selamat mengundi.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment