Wednesday, April 22, 2015

Masa Depan Anwar Di Sebalik Tirai Besi



“Tempat kurungan tidak selalunya bererti penjara. Ia bisa diolah menjadi rumah ibadat, pondok pertapaan, gobok mengenal diri dan sudut mencari kebesaran Tuhan... Tokoh hebat memerintah dari penjara,” kata-kata Penerbit buku ‘Warkah Anwar: Surat-Surat Dari Penjara 1998-2004’.
 
Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan pula dalam forum bertajuk "Anwar Dipenjara, Masa Depan Politik Malaysia" minggu lalu membayangkan Anwar lebih berbahaya di dalam penjara dan Putrajaya membuat kesilapan menghantarnya ke Sungai Buloh.
 
Soalnya selepas sedekad, mampukah Anwar yang kembali semula ke jeriji besi buat kali ketiga mengubah landskap politik Malaysia? Anwar sebenarnya telah kehilangan aura ‘banduan politik’ dan momentum 1998-2004 untuk mencipta kemuncak sejarah seperti Presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan selepas dipenjarakan hampir 30 tahun.
 
Peluang terbaik Anwar untuk menawan Putrajaya dari penjara ialah pada PRU-12 atau setidak-tidaknya pada PRU-13 lalu. Namun dengan melihat masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan gabungan pembangkang sekarang, sekalipun Anwar menang ia belum tentu boleh bertahan lebih lama. Sejarah politik dunia merekodkan bahawa gerakan reformasi politik yang berjaya membentuk kerajaan akhirnya kecundang tidak lama kemudian kerana kurang persediaan, percaturan politik dalaman dan struktur politik yang lemah.
 
Episod kejatuhan kerajaan Orde Baru, Presiden Suharto di Indonesia adalah yang paling dramatik di Asia Tenggara sehingga ketidaktentuan dan ketidakstabilan politik Indonesia masih dirasai sehingga kini. Kerajaan Solidariti di Poland hanya mampu bertahan lima tahun walau dipimpin oleh tokoh popular Lech Walesa. Begitu juga dengan kerajaan Janata Dhal pimpinan Moraji Desai di India. Malah di Thailand, kerajaan Chuan Leekpai iaitu seorang tokoh reformasi selama dua dekad hanya dapat bertahan selama satu penggal sahaja.
 
Politik Pakatan Rakyat (PR) tanpa Anwar akan memberikan cabaran yang berbeza. Situasi Anwar sekarang untuk menguruskan partinya dan PR sendiri lebih mencabar berbanding pengalamannya menguruskan kem ‘Team Wawasan’ di dalam UMNO. Semasa bersama parti kerajaan itu, Anwar sebenarnya mendapat laluan mudah di dalam UMNO dan UMNO ketika itu adalah parti dominan dan tunjang di dalam Barisan Nasional (BN).
 
Berbeza dengan PR sekarang dengan struktur dan formatnya yang longgar, Anwar yang hanya bergelar Ketua Umum PKR dan masih belum dimuktamadkan sebagai calon Perdana Menteri PR sebenarnya hanya mempunyai kawalan terhad kepada gabungan alternatif itu.  
 
Malah menguruskan PR sekarang juga berbeza dengan Barisan Alternatif (BA) dahulu. Walaupun proksi Anwar masih sama iaitu isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tetapi keupayaannya untuk memimpin gabungan pembangkang kini telah dipertikaikan secara terbuka oleh PAS dan dalaman PKR sendiri.

Kegagalan ‘Langkah Kajang’ akan menjadi kayu penghalang untuk Dr Wan Azizah mengetuai ‘Langkah Sungai Buloh’. Malah Dr Wan Azizah sebagai bekas Ketua Pembangkang sendiri akan berdepan ujian getir untuk dipilih semula sebagai Ketua Pembangkang pasca pemenjaraan Anwar.
 
Kekangan dari tirai besi setidak-tidaknya akan menyudutkan, memencilkan dan menggelapkan peran Anwar sebagai tokoh pembangkang sama seperti apa yang berlaku kepada Dato’ Harun Idris. Idris yang merengkok di dalam Penjara Pudu walaubagaimanapun memenangi jawatan Naib Presiden pada Persidangan Agung UMNO 1981.
 
Hakikatnya walau belum bergelar Perdana Menteri, Anwar telah menampakkan wajah sebagai seorang penguasa. Nasib yang menimpa Tan Sri Khalid Ibrahim, tidak ada bezanya dengan nasib Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam dan Anwar sendiri di tangan Mahathir, Datuk Harun di tangan Tun Hussein Oon serta nasib Tun Mahathir di tangan Tuanku Abdul Rahman.
 
Anwar sebenarnya membazirkan banyak masa untuk menguruskan masalah dalaman parti dan hubungan silang dengan parti sekutunya sedangkan usaha untuk menawan sokongan pengundi ‘atas pagar’ dan ‘non-partisan’ yang dikendongnya keciciran.
 
Cara lama politik Anwar yang diwarisi dari dalam UMNO tidak menguntungkan PKR dan PR. Kewujudan kem-kem politik yang seolah-olah menjadi parti di dalam parti semakin parah yang boleh dilihat dalam beberapa insiden kekecohan semasa pemilihan PKR. Penyisihan politik di dalam PKR dan campur tangan di dalam PAS sehingga mewujudkan kumpulan ‘Anwarinas’ dan bakal melahirkan serpihan PASMA. Berbeza dengan pemenjaraan Anwar pada fasa 1998-2004 yang diteriak-tangiskan oleh ramai orang terutamanya di kalangan penyokong pembangkang, pemenjaraan sekali lagi Anwar pada 2014-2020 kelihatan sendu-sedannya semakin berkurangan.  
 
Walaupun kelibat Anwar selepas keluar daripada penjara selewat-lewatnya pada 2020 adalah lebih cerah berbanding kelibat Datuk Harun tetapi pesona mantan Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanudin Al-Helmy adalah lebih menyerlah. Dr Burhanuddin lebih dikenang oleh semua ahli parti di dalam PAS dan diluar parti.
 
Seperti ucapan terakhir di siri jelajah Rakyat Hakim Negara agar PR menyediakan pemimpin pelapis, sudah tiba masanya Anwar berundur daripada politik seperti janjinya tahun lalu untuk menjadi pensyarah universiti jika gagal memenangi PRU-13.
 
Anwar yang kini berusia 67 tahun hanya akan dibebaskan pada tahun 2020 dan hanya boleh bertanding semula pada tahun 2025 iaitu ketika berusia 77 tahun! Usia yang sebaya dengan idolanya Nelson Mandela yang menjadi presiden pada usia 76 tahun. Ironisnya bekas mentornya Tun Mahathir pula bersara pada usia 78 tahun. Jika ‘rezeki’ Anwar masih ada, maka beliau adalah Perdana Menteri tertua di Malaysia dan Asia Tenggara.
 
Masa lima tahun mendatang, sebaiknya Anwar mula menulis sekuel bukunya “Warkah Anwar: Surat-Surat Dari Penjara 2015-2020” ataupun menulis biografinya untuk menandingi “Doktor Umum: Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad”. Peminat tentunya ingin membaca lagi surat-surat Anwar!

Disediakan oleh :

Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment